Wednesday, May 18, 2011

Privatising RTM

This is another posting in Malay:

Swasta RTM

Kebelakangan ini terdengar semula kisah menswastakan RTM atau pon memperbadankannya; kisah yang telah wujud sejak hampir 30 tahun lampau. Dimasa lampau sekumpulan staf RTM dikerah membuat kajian dan mengemukakan cadangan “comprehensive” yang memakan masa berbulan-bulan lama sehingga ada yang tidak memberi tumpuan kepada tugas asas. Satu ketika pula satu syarikat perunding diupah beratus ribu ringgit untuk membuat kajian “feasibality”. Namun akhirnya RTM terus beroperasi seperti biasa sebagai Jabatan Kerajaan hingga hari ini.

Saya yang tidak pernah terlibat dengan kajian yang dinyatakan itu sudah  tentu tidak dapat memberi sebarang butiran. Saya sekadar dapat menangkap apa yang disebut-sebut oleh rakan-rakan sekerja dalam perbincangan kerana dokumen2 mengenainya tidak pernah sampai ketangan saya sebagai salah seorang pegawai kanan Jabatan ketika itu. “Input” dari saya yang mengetuai salah satu sektor Jabatan juga tidak pernah diminta; saya anggap sektor berkenaan tidak penting dalam usaha pengswastaan. Mengapa sedemikian tidak pernah saya persoalkan, kerana menjadi resam bangsa kita mempersoalkan sesuatu bermakna “kurang ajar” kepada bos “who is always right”.

Bila saya ditanya bolehkah RTM diswasta atau diperbadan? Saya masih memberi jawapan separuh positif – boleh dan tidak boleh. Berdasarkan keadaan, RTM memang sukar hendak diswastakan secara menyeluruh. Operasi RTM terbahagi kepada dua komponen besar – Radio dan Televisyen.

Radio nampaknya sukar hendak diswastakan kerana ia beroperasi diserata negeri negara ini dengan bilangan staf yang begitu ramai. Hampir semua pengkalan radio dinegeri-negeri tidak mampu membawa pulangan yang menguntungkan dari segi komersil atau iklan dan tajaan. Di ibu negara serta di Sabah dan Sarawak ia beroperasi dalam beberapa bahasa dan loghat untuk memenuhi matlamat menyampaikan maklumat seluas mungkin kepada masyarakat menyebabkan operasinya tidak ekonomi bagi satu syarikat swasta.

Di ibu negara Radio mungkin mampu mengimbangkan bajet pendapatan dan perbelanjaan. Namun perlu diingat tujuan swasta ia memperolehi untung untuk dilabur bagi mengembangkan asset. Hampir semua ajensi iklan dan syarikat terkemuka dan multinasional termasuk yang mampu mengeluar perbelanjaan untuk mempromosi atau menyerantakan jenama masing2 beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Sekiranya Radio diswastakan ia misti bersedia menemui persaingan hebat dari radio-radio swasta yang sedia wujud dan sudah mencipta nama dikalangan pengiklan dan pendengar. Kemampuan Radio RTM meninggalkan reputasinya sebagai suara kerajaan sudah tentu menjadi satu persoalan.

Mengenai TV, rasanya ia boleh diswastakan kerana kompleksiti Radio tidak wujud di TV. TV hanya beroperasi di ibu negara berserta kompleks kecil di Kota Kinabalu dan Kuching sahaja. Lagipon dengan tersedianya kemajuan teknoloji yang sentiasa berkembang beberapa komponen TV seperti penggunaan filem dalam tugas harian sudah tidak wujud lagi membikinkan operasi, sekaligus staf, mengecut. Dengan wujudnya digital dan komputer segala operasinya mengecut sama. Hanya perbelanjaan bajet mungkin meningkat demi memperolehi asset-asset tersebut.

Infrastrukur komersil pengiklanan sudah sedia wujud di TV, hanya memerlukan tindakan lebih agresif dari staf sahaja.

Satu masa dahulu diwujudkan “Akaun Amanah Tajaan” untuk TV yang membuktikan ia mampu memperolehi pendapatan yang cukup lumayan. Saya masih ingat pada tahun 80an Jawatankuasa 3 orang mengendalikan “Akaun” itu di anggotai Dicky Lee, Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Penerangan selaku Pengerusi serta Hanan Alang Endut (kini Dato’) Ketua Bahagian Pengiklanan dan saya Amran A Hamid, Ketua Siaran Sukan RTM.

Langkah awal mewujudkan “Akaun” itu ialah untuk mendapat kelonggaran syarat meningkatkan mutu siaran dan liputan sukan TV RTM. Kebetulan setiap kali liputan acara sukan yang penting ketika itu terpaksa melalui proses panjang hingga ke Perbendaharaan, menyebabkan ada kalanya tergendala siaran dan liputan. Dengan adanya “Akaun” itu Perkhidmatan Sukan mendapat kelonggaran mengurangkan proses itu kerana yang dipentingkan pada masa itu ialah jumlah pendapatan yang menguntungkan dipenghujung siaran. Secara kebetulan pula syarikat dan jenama terkemuka khususnya rokok menumpukan iklan mereka khusus ke jurusan sukan. Di akhir tahun pertama perolehan “AAT” melalui rancangan sukan sahaja berjumlah berjuta ringgit setelah ditolak kos perbelanjaan. Elok juga diingatkan ini tidak melibat bajet emolumen (gaji) staf.

Keadaan ini membuka mata ramai. Kemudian dilibatkan pula penerbitan Drama “in-house” yang terpaksa mengeluarkan kos boleh dikatakan tinggi demi penerbitan yang berkualiti dan prestij. Disini kami menghadapi masaalah kerana kebanyak pengiklan dan agensi tidak begitu minat terhadap drama tempatan, khususnya drama Melayu terbitan RTM. Akhirnya kami berjaya memujuk Pengurus Besar jenama Dunhill untuk terlibat dalam pengiklanan Drama berkenaan. Sejak itu sambutan iklan kepada drama tempatan kian meningkat kerana rancangan itu mempunyai pengikut yang meluas di seluruh negara.

Kemudian Kejuruteraan meminta supaya ia terlibat dengan “AAT” kerana resesi semasa itu menyukarkan mereka memperolehi peralatan yang canggih untuk liputan. Kemasukan Kejuruteraan tidak mendatangkan perolehan menjadikan garis penghujung AAT setiap tahun kurang berkembang. Namun baki Akaun itu tetap selesa mencecah angka beratus juta ringgit.

Apabila saya menjadi Pengarah Kawasan Sarawak di Kuching saya tidak berapa aktif dalam perjalanan harian AAT, hanya datang ke KL sekali-sekala untuk memperakui Kenyataan Akaunnya. Tidak lama selepas itu saya mendapat tahu “AAT” ditutup, segala baki akaunnya di pulangkan kepada perbendaharaan.

Dari sinilah saya berani menyatakan TV RTM mampu di swastakan.


1 comment:

  1. Assalamualaikum...artikel ini sangat menarik. Cuma saya ada beberapa soalan untuk tokcik.

    1) Apabila diswastakan, bagaimanakah pula staf RTM yang begitu ramai di setiap peringkat negeri? Berkemungkinan untuk berlakunya downsizing atau righsizing?

    2) Bagaimana pula dengan pengambilan staf baharu melalui SPA, sebagai contoh; Penerbit Rancangan. Setiap tahun ada sahaja pengambilan staf baharu RTM melalui SPA. Apakah nasib mereka semua ini nanti terbela?

    3) Tak lama lagi pun nak pergi interview Penerbit Rancangan, RTM, bahagian selatan.

    Mohon pencerahan tokcik.
    Terima kasih.

    ReplyDelete