Analisis ringkas ulasan-selari Bahasa Melayu.
Siaran berbayar satelit Astro memperolehi monopoli
menyiarkan Kejohanan Bolasepak Piala Euro 2012 (antara negara) meninggalkan RTM
tanpa sebarang perlawanan untuk ditayang.
Setelah separuh jalan peringkat kumpulan Kejohanan,
eloklah kita menyingkap kembali liputan yang menarik minat pengikut bolasepak
tanah air. Astro menggunakan 3 saluran untuk siarannya, 2 daripadanya dalam
bentuk High Defination (HD) memberi kepuasan kepada yang menonton dari segi
visual yang lebih tajam dan cerah, dengan komentari dalam bahasa Inggeris. Bagi
orang yang tidak melanggan HD seperti penulis, kita hanya menyaksikan saiaran
biasa melalui saluran 801 Astro dengan ulasan (dan komentari) dalam Bahasa
Melayu.
Ada juga baiknya keadaan begini berlaku, kerana ia
memberi peluang kepada orang lama seperti penulis untuk menyampaikan pandangan
yang membina demi faedah kawan-kawan pengulas yang bertugas di Astro supaya
ulasan mereka bertambah baik tanpa sebarang prejudis. Astro mempunyai ramai
pengulas, komentar dan penganalisis serta pengkritik baru yang boleh dikatakan
baik. Langkah Astro memperkasakan Bahasa Melayu dalam siarannya amat
dialu-alukan.
Diperhatikan Astro menerima visual secara langsung dari
venue perlawanan di dua negara tuan-rumah Ukraine dan Poland, sementara ulasan
dan komentari Bahasa Melayunya dibuat di studio Astro di Sungai Besi. Ini
adalah satu perkara biasa sekarang kerana masaalah logistik bagi badan-badan
penyiaran yang memperoleh milik siaran.
Dalam hal ini nyata sekali pengulas-pengulas Astro belum
matang dalam ulasan-selari yang dibuat dari “off tube”, istilah yang biasa
diguna untuk keadaan sedemikian, berbeza dari melakukannya divenue perlawanan.
Saya percaya kematangan ini akan mengambil masa.
Dalam ulasan-selari yang dibuat dari padang perlawanan
pengulas berpeluang melihat sekitar kawasan permainan dimana kesemua pemain
berada. Pengulas berasa “atmosphere” perlawanan. Dengan itu cepat pengulas
mengenali dan mengecam para pemain. Rentak dan gaya ulasannya tidak terhad. Ini
amat berbeza sekali dengan membuat ulasan-selari dari “off tube” dimana
pengulas bergantung kepada butir, seperti senarai nombor dan nama pemain. Ia
amat bergantung kepada visual yang dipaparkan diskrin. Bila visual itu
menunjukkan seluruh padang kemungkinan pengulas tidak dapat mengecam atau
mengenali seseorang pemain terutama yang baru dan tidak terkenal. Apabila
visual itu memberi “close-up” adalah mudah bagi pengulas mengecam nombor dan
nama pemain berkenaan.
Disinilah letaknya kepintaran pengulas yang banyak
pengalaman dan biasa dengan operasi “off-tube”. Dinegara ini nampaknya tidak
ramai pengulas yang sedemikian.
Yang bagus dizaman kecanggihan IT sekarang ialah
pengulas-pengulas mempunyai banyak bahan yang disedia untuk mereka seperti
butiran setiap pemain dan pasukan untuk dihidang santapan penonton. Kelemahan
pengulas ialah ia tidak berapa tahu bilakah masanya butiran itu patut
disampaikan.
Setakat ini pengulas-pengulas Astro, baik yang lama atau
baru, masih lagi tidak dapat memberi ulasan-selari dari “off-tube” secara licin,
teratur atau baik. Mereka berusaha mengikuti aliran bola tetapi sentiasa
tertinggal bila bola itu sampai kepada pemain lain atau lawan yang didapati
sukar dikenali. Dalam keadaan sedemikian pengulas akan mengalih ulasan mereka
kepada fakta-fakta dalam tangan meninggalkan rentak perlawanan yang dilihat
dari visual. Ini membosankan kerana pengulas berusaha menghabiskan bacaan
mereka dari fakta yang ada dalam tangan.
Astro menggunakan dua orang pengulas, salah seorang
darinya memain peranan pakar, tetapi dalam keadaan sedemikian pakar itu sendiri
terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh pengulas utama. Ini mungkin akibat
fakta kurang pengalaman atau kurang menguasai Bahasa Melayu yang sesuai untuk
disebut untuk mengisahkan visual yang dilihat serentak berasama penonton
dirumah.
Elok juga diingatkan sekali lagi kepada pengulas-pengulas
supaya tidak perlu mencerita apa yang dapat disaksikan oleh penonton diskrin.
Andaian tak perlu dinyatakan berulang kali. Itu adalah sama seperti mengajar
para pemain ditengah padang yang tidak tahu apakah yang dinyatakan oleh
pengulas berkenaan.
Adalah diharap catatan ringkas ini mendapat perhatian
supaya kita akan dapat menikmati ulasan selari yang lebih baik dan mantap. Moga
persembahan rakan-rakan pengulas di Astro meningkat.