Thursday, June 14, 2012

Euro 2012



Analisis ringkas ulasan-selari Bahasa Melayu.

Siaran berbayar satelit Astro memperolehi monopoli menyiarkan Kejohanan Bolasepak Piala Euro 2012 (antara negara) meninggalkan RTM tanpa sebarang perlawanan untuk ditayang. 
Setelah separuh jalan peringkat kumpulan Kejohanan, eloklah kita menyingkap kembali liputan yang menarik minat pengikut bolasepak tanah air. Astro menggunakan 3 saluran untuk siarannya, 2 daripadanya dalam bentuk High Defination (HD) memberi kepuasan kepada yang menonton dari segi visual yang lebih tajam dan cerah, dengan komentari dalam bahasa Inggeris. Bagi orang yang tidak melanggan HD seperti penulis, kita hanya menyaksikan saiaran biasa melalui saluran 801 Astro dengan ulasan (dan komentari) dalam Bahasa Melayu.

Ada juga baiknya keadaan begini berlaku, kerana ia memberi peluang kepada orang lama seperti penulis untuk menyampaikan pandangan yang membina demi faedah kawan-kawan pengulas yang bertugas di Astro supaya ulasan mereka bertambah baik tanpa sebarang prejudis. Astro mempunyai ramai pengulas, komentar dan penganalisis serta pengkritik baru yang boleh dikatakan baik. Langkah Astro memperkasakan Bahasa Melayu dalam siarannya amat dialu-alukan.

Diperhatikan Astro menerima visual secara langsung dari venue perlawanan di dua negara tuan-rumah Ukraine dan Poland, sementara ulasan dan komentari Bahasa Melayunya dibuat di studio Astro di Sungai Besi. Ini adalah satu perkara biasa sekarang kerana masaalah logistik bagi badan-badan penyiaran yang memperoleh milik siaran.
Dalam hal ini nyata sekali pengulas-pengulas Astro belum matang dalam ulasan-selari yang dibuat dari “off tube”, istilah yang biasa diguna untuk keadaan sedemikian, berbeza dari melakukannya divenue perlawanan. Saya percaya kematangan ini akan mengambil masa.
Dalam ulasan-selari yang dibuat dari padang perlawanan pengulas berpeluang melihat sekitar kawasan permainan dimana kesemua pemain berada. Pengulas berasa “atmosphere” perlawanan. Dengan itu cepat pengulas mengenali dan mengecam para pemain. Rentak dan gaya ulasannya tidak terhad. Ini amat berbeza sekali dengan membuat ulasan-selari dari “off tube” dimana pengulas bergantung kepada butir, seperti senarai nombor dan nama pemain. Ia amat bergantung kepada visual yang dipaparkan diskrin. Bila visual itu menunjukkan seluruh padang kemungkinan pengulas tidak dapat mengecam atau mengenali seseorang pemain terutama yang baru dan tidak terkenal. Apabila visual itu memberi “close-up” adalah mudah bagi pengulas mengecam nombor dan nama pemain berkenaan.
Disinilah letaknya kepintaran pengulas yang banyak pengalaman dan biasa dengan operasi “off-tube”. Dinegara ini nampaknya tidak ramai pengulas yang sedemikian. 
Yang bagus dizaman kecanggihan IT sekarang ialah pengulas-pengulas mempunyai banyak bahan yang disedia untuk mereka seperti butiran setiap pemain dan pasukan untuk dihidang santapan penonton. Kelemahan pengulas ialah ia tidak berapa tahu bilakah masanya butiran itu patut disampaikan.
Setakat ini pengulas-pengulas Astro, baik yang lama atau baru, masih lagi tidak dapat memberi ulasan-selari dari “off-tube” secara licin, teratur atau baik. Mereka berusaha mengikuti aliran bola tetapi sentiasa tertinggal bila bola itu sampai kepada pemain lain atau lawan yang didapati sukar dikenali. Dalam keadaan sedemikian pengulas akan mengalih ulasan mereka kepada fakta-fakta dalam tangan meninggalkan rentak perlawanan yang dilihat dari visual. Ini membosankan kerana pengulas berusaha menghabiskan bacaan mereka dari fakta yang ada dalam tangan. 
Astro menggunakan dua orang pengulas, salah seorang darinya memain peranan pakar, tetapi dalam keadaan sedemikian pakar itu sendiri terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh pengulas utama. Ini mungkin akibat fakta kurang pengalaman atau kurang menguasai Bahasa Melayu yang sesuai untuk disebut untuk mengisahkan visual yang dilihat serentak berasama penonton dirumah.
Elok juga diingatkan sekali lagi kepada pengulas-pengulas supaya tidak perlu mencerita apa yang dapat disaksikan oleh penonton diskrin. Andaian tak perlu dinyatakan berulang kali. Itu adalah sama seperti mengajar para pemain ditengah padang yang tidak tahu apakah yang dinyatakan oleh pengulas berkenaan.
Adalah diharap catatan ringkas ini mendapat perhatian supaya kita akan dapat menikmati ulasan selari yang lebih baik dan mantap. Moga persembahan rakan-rakan pengulas di Astro meningkat.


2 comments:

  1. Assalamualaikum, seperti biasa pandangan Tokcik dihargai. Bagi kawan-kawan di Astro, termasuk orang macam saya, kena belajar dan belajar tanpa henti!

    ReplyDelete
  2. Rizal LC:
    Waalaikumussalam. Tulisan TC ini hanya tertumpu kepada bidang ulasan-selari yang masih boleh banyak diperbaiki di Astro. Bidang analisis dan pengkritikan tidak disentuh kerana pada hemat TC ianya sudah berada ditahap setanding dengan yang dibuat dalam bahasa Inggeris setakat ini. Moga kawan2 di Astro terus mencapai kemajuan.

    ReplyDelete