Ini cerita lama sejak Radio dan TV bermula di negara
kita. SALAH SEBUTAN dalam pertuturan, salah ejaan dan salah penggunaan
perkataan amat menjadi-jadi sekarang dikalangan personaliti Radio dan TV
khususnya dikalangan penyampai berita dan juruacara rancangan. Setiap waktu dan
setiap hari ada sahaja kesilapan berlaku. Termasuk juga di TV ialah sarikata
dan “caption” (Kepsyen) disepanjang siarannya, hingga menjadi bahan kelakar, ketawa dan senda
gurau dikalangan orang ramai, baik di media mahupon laman sosial.
Dizaman dahulu perkara ini jarang sekali berlaku mungkin
kerana bilangan stesen Radio dan TV amat terhad, berkemungkinan kawal-selianya
lebih ketat dan mudah kerana waktu siaran tidak meluas seperti sekarang. Zaman
monopoli RTM dahulu pembaca berita dan komentator siaran langsung menempuhi
ujian ketat sebelum dibenar keudara. Mungkin ini membikin mereka lebih
berhati-hati dalam tugas masing-masing. Jika berlaku kesilapan yang tidak
sengaja dan tidak ketara, mereka dengan cekap menutupnya. Jika kesilapan itu
dianggap berat, mereka tidak segan silu mengguna perkataan “maaf” dalam
penyampain dengan penoh sopan membuat pembetulan.
Sejak wujudnya badan-badan penyiaran swasta dan
perkembangan Radio RTM disetiap negeri yang ada antaranya bersiaran sepanjang
24 jam tanpa henti setiap hari, rasanya kawal-selia sudah tidak lagi diutamakan,
mengizinkan petugas-petugas yang keudara mempunyai lapangan luas untuk beraksi
tanpa kawalan dan panduan. Jika dizaman dahulu adalah menjadi amalan untuk
merakamkan sepanjang siaran, kini rasanya amalan itu tidak dipraktikkan lagi.
Dengan demikian tidak mungkin sebarang kesilapan dapat dikesan.
Salah penggunaan perkataan juga amat menjadi-jadi
sekarang seolah-olah Bahasa Melayu amat terhad perkataan dan nahunya. Salah
satu perkataan yang disalah guna kini ialah “NOBAT”. Kamus Dewan (Dewan Bahasa
dan Pustaka DBP) menyebutnya “pancaragam Melayu yang bermain ketika Raja ditabalkan”. Kini perkataan Nobat
telah hilang seri dan kedaulatan sebagai bahasa yang dikhaskan untuk istana.
Setiap pengisytiharan khususnya dalam acara sukan dan pertandingan seni nyanyi,
sekarang menggunakan istilah ini secara meluas untuk pemenang atau johan. Nyata
benar penganjur dan badan-badan penyiaran amat cetek sekali dalam istilah yang
tepat dalam Bahasa Melayu. Mengapakah tidak diguna istilah yang biasa diguna
seperti “Umum” (mengumumkan, diumukan), “Isytihar” atau “diangkat”. Tak lama
lagi mungkin ada bijak-pandai yang akan menggunakan istilah “tabal” untuk
tujuan yang sama. Biarlah perkataan Nobat digunakan khusus untuk peristiwa di
istana-istana. Sekiranya perlakuan ini dianggap sebagai keterlaluan mungkin
Kabinet atau Persidangan Raja-Raja Melayu, terpaksa mengeluarkan perintah
supaya media tidak menggunakan perkataan yang dikhaskan untuk istana bagi
tujuan lain.
Kebanyakan salah sebutan berlaku sejak peralihan ejaan
hasil persefahaman penyeragaman antara negara-negara serantau yang mengguna
“Bahasa Melayu”.
Kebanyakan kesilapan melibatkan nama-nama orang. Yang
ketara sekali ialah nama “SYED” dalam ejaan lama yang sekarang di sebut “shed”
(seperti sebutan dalam bahasa Inggeris) oleh kebanyakan pembaca berita yang
lahir selepas peralihan. Adakalanya perkataan itu disebut “shit”, satu
perkataan yang menjijikan dalam bahasa Inggeris. Rasanya dalam hal ini pengarang
yang menyediakan skrip eloklah mengingatkan pembaca sebutannya ialah “Sa-yed”.
Satu lagi perkataan yang kerap disalah sebut dalam
kategori ini ialah Sukan “Skuasy” (dalam bahasa Inggeris “Squash”). Apabila
ianya mengikut ejaan baru, pembaca sering silap menyebutnya “Skua-si”, menukar
“sy” yang sepatutnya berbunyi “sh” (seperti menyuruh orang senyap). Yang
peliknya bagaimana “sy” boleh bertukar kepada “si”.
Dizaman dahulu satu nama yang hangat di perbincangkan
ialah nama pembangkang Pakistan bernama Zulfikar Ali Bhuto. Perkataan Bhuto itu
disebut oleh pembaca berita RTM sebagai “Bato”. Pada masa itu Pakistan adalah
anti Malaysia menyebelahi Konfrantasi Ganyang Malaysia oleh Sukarno. Perdana
Menteri pertama, Tengku Abdul Rahman Putra, menegur RTM secara terbuka
menyatakan sebutan yang sebenarnya ialah “Butoh”. Hanya selepas teguran keras
dari Perdana Menteri barulah sebutan itu bertukar kepada yang sebenarnya.
Apabila anak Zulfikar, Benazir dipilih Perdana Menteri Pakistan barulah sebutan
sebenarnya kekal. Nyata sekali dizaman itu RTM menjaga budaya kesopanan
sehingga sebutan nama orang dan tempat ditukar kepada yang lebih tertib, supaya
tidak terdengar perkataan-perkataan yang dianggap lucah, mencarut dan seumpamanya.
Bila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 perkara yang
sama timbul. Beberapa nama tempat di Sarawak adalah unik (luar biasa) kepada
orang-orang di Semenanjung. Antaranya ialah “Nonok” yang membawa makna lucah.
Nama tempat seperti ini diubah secara resmi kepada yang lebih memberansangkan
seperti “Sri Aman” dan sebagainya. Dengan demikian ia tidak lagi menjadi bahan
jenaka. Nama tempat di Sabah seperti “Menggatal” juga dianggap luar biasa pada
mulanya tetapi sudah diterima umum. Di Semenanjung sendiri terdapat nama tempat
yang menjadi bahan ketawa seperti “Batang Berjuntai” di Selangor. Sudah ada
usaha dibuat untuk menukar nama tempat
itu kepada “Bestari Jaya” tetapi diatas papan-papan tanda, nama asalnya masih
tercatat dalam kurungan kerana orang-orang tempatan sudah biasa dengan nama
yang dikenali mereka sejak lahir.
Nama-nama tempat di Semenanjung sendiri juga sering
disalah sebut. Antaranya Alor Merah di Kedah yang sentiasa disebut dengan nama warna “me-rah”.
Orang ditempat itu menyebut “Merah” dengan ejaan e-tanda. Ini adalah keunikan
vokal Bahasa Melayu apabila kedua-dua “e” itu TIDAK dibezakan dalam ejaan.
Begitu juga nama tempat “Yen” di Kedah yang sentiasa disebut oleh pembaca dan
pengulas Radio dan TV seperti yang di eja, walhal sebutan sebenarnya ialah
“Yan”. Sudah tiba masanya Kerajaan mewartakan ejaan tempat itu sebagaimana
sebutan, iaitu “Yan”.
Kesilapan sebutan kerap berlaku dalam nama-nama yang
dipinjam dari bahasa lain, terutama dari bahasa Inggeris. Antara yang ketara
ialah nama tempat di Sabah, seperti Beaufort. Sebutan betul ialah “Bo-fert”
(dengan e-tanda) tetapi pembaca berita dan pengulas yang tidak mengetahui pasti
menyebut “Bi-u-fort”.
Sejak berita dunia menjadi tumpuan zaman sekarang, sudah
pasti banyak nama orang dan tempat dari berbagai-bagai bahasa disalah sebut.
Kesilapan ini melucukan khususnya bahasa Sepanyol, seperti nama tempat di Latin
Amerika yang dieja “Cartagena” tetapi sebutannya ialah “Kar-ta-he-na”.
Kini bidang sukan bolasepak menjadi tumpuan. Semasa Piala
Dunia Mexico dulu nama tempat “Guadalajara” sering disalah sebut dari yang
sebenarnya dalam bahasa Sepanyol iaitu “Gu-a-da-la-ha-ra”. Nama orang atau
pemain juga sering disalah sebut terutama yang berbangsa Sepanyol atau Portugis
di Brazil.
Di Malaysia ramai yang minat bolasepak Inggeris melalui
propaganda bertubi negara British itu untuk melariskan salah satu ekspot
mereka. Orang Inggeris mempunyai cara ejaan dan sebutan yang berbeza dan pelik
yang juga menjadi bahan polimik, umpamanya pasukan “Tottenham Hotspurs” sebutan
betulnya ialah “Tot-nem” bukan seperti yang dieja. Banyak lagi contoh yang terdapat.
Ejaan dan sebutan nama-nama orang dan tempat di Indonesia
yang banyak dipakai disini juga tidak kurang kelirunya. Perkataan loghat daerah
yang dinaik taraf ketahap nasional untuk memperkayakan Bahasa Indonesia adakala
dianggap pelik di Malaysia. Sebelum penyelarasan dahulu ejaan Bahasa Indonesia
adalah mengikut ejaan Belanda, umpamanya huruf berbunyi “y” di eja dengan “j”
seperti “Kemayoran” dieja “Kemajuran”. Begitu juga “Yokyakarta”. “Acheh” dahulu
dieja “Atjeh”. Nama-nama orang juga dahulu mengikut ejaan Belanda, seperti
“Junus” untuk “Yunus” dan sebagainya. Bertambah lucu kepada kita di Malaysia
ialah perkataan tertentu seperti “Butuh”, “membutuhkan” yang lebih membawa
makna perlu atau hajat. Dalam ulasan sukan pula pengulas-pengulas Malaysia
rajin mengguna perkataan “tewas” untuk kalah. Rakan-rakan dari media Indonesia
menjadikannya bahan jenaka, kerana di Indonesia perkataan itu membawa makna
“mati” atau “bunoh” yang diguna mereka secara meluas.
Satu masa dahulu bidang penyiaran sebuk dengan “sebutan
baku” hingga lupa apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957
Artikel 152 yang menyebut antaranya Bahasa Kebangsaan adalah mengikut Loghat
Johor-Riau. Perkara ini bermula semasa Dato Sri Anwar Ibrahim menjadi Menteri
Pelajaran dengan memperkenalkan “sebutan baku” disekolah-sekolah. TV3 yang satu
ketika dipimpin oleh orang-orang yang rapat dengan dia telah melaksanakan
penggunaaan “sebutan baku” menyebabkan masyarakat Malaysia berbelah bagi kerana
RTM terus tidak berganjak dengan sebutan yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan. Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr. Mahathir dalam mesyuarat
Kabinet telah menetapkan bahasa penyiaran hendaklah mengikut apa yang termaktub
dalam Artikel 152 Perlembagaan Perseketuan. Kini nampaknya TV3 telah melupakan
“sebutan baku” dan kembali kepada sebutan asal loghat Johor-Riau. Namun masih
ada saki baki yang menyokong “sebutan baku” masih berusaha supaya ia digunakan.
Mungkin kerana ada kepentingan, seperti percetakan buku-buku dalam bidang
berkenaan yang pasti laris dijual apabila ianya menjadi buku teks.
Yang peliknya Dewan Bahasa dan Pustaka DBP amat cenderong
supaya sebutan baku dilaksanakan dengan mengadakan kursus mengenainya. Pada
hemat penulis, tugas utama DBP ialah memelihara dan menyuburkan Bahasa Melayu,
khususnya dalam tulisan. Biarkanlah sebutan bahasa Melayu dikendali oleh badan
penyiaran kebangsaan RTM, yang menggunanya sepanjang siaran. DBP sudah lupa
tugas utamanya memelihara kesucian Bahasa Melayu bertulis. Setiap hari terdapat
kelucuan pencemaran bahasa seperti di papan-papan tanda dan iklan yang kononnya
mendapat kelulusan DBP.
Penulis teringat peristiwa bekas Menteri Penerangan
Malaysia Tan Sri Muhamad Rahmat (Tok
Mat) ditermuramah oleh TVRI dan RRI di Jakarta apabila rakaman dihentikan
kerana Tok Mat menggunakan sebutan Bahasa Melayu bukan Bahasa Indonesia.
Penemuramah minta beliau menggunakan Bahasa Indonesia seperti dalam perbualan
biasanya. Tok Mat ialah lulusan Universitas Indonesia dan pernah menjadi Duta
Besar Malaysia disana. Dengan tegas Tok Mat memberitahu temuaramah itu adalah
urusan resmi memerlukannya menggunakan Bahasa Malaysia. Begitulah betapa megah
seorang tokoh kepada kedaulatan Bahasa resmi negara. Nyata Tan Sri menegaskan
jatidirinya.
Dua lagi bidang yang membahaya dan mencemar Bahasa Melayu
sekarang ialah apa yang disebut “bahasa rojak” dan “bahasa pesanan ringkas”
(SMS).
Bahasa rojak memang tidak asing kepada masyarakat
Malaysia yang beraneka etnik, keturunan dan budaya sejak zaman berzaman.
Dizaman gemilang Empair Melaka dahulu Bahasa Melayu adalah “lingua franca”
ahli-ahli perniagaan dan pedagang berbagai kaum yang petah dengannya dicampur
aduk dengan bahasa ibunda sendiri atau bahasa-bahasa lain yang mudah difahami
bila berinteraksi. Ini melarat hingga zaman British menguasai negara ini dengan
membawa masuk kaum India dan China untuk kepentingan ekonomi mereka. Sekaligus
kemasukan mereka ini menimbulkan selanga pertuturan untuk mudah difahami antara
satu sama lain. Keadaan ini melarat hingga menjadi budaya orang-orang bercakap
dari satu bahasa ka satu bahasa lain untuk mudah difahami dan menyampai
objektif. Hal ini melarat kedalam pertuturan dan ucapan. Di Radio dan TV ianya
juga ketara. Jika amalan ini tidak dihentikan oleh pengacara dan pengendali
rancangan dan siaran nyata ia akan berkekalan mencacat Bahasa Melayu sejati
yang tulin.
Berkaitan “bahasa rojak” ini termasuk kedegilan dan
keengganan media Radio dan TV, badan-badan tertentu, mencampur-adukkan bahasa
asing, khususnya Inggeris, dengan bahasa Melayu. Contoh yang terbaik ialah
nama-nama barang, kempen dan sebagainya yang berakhir dengan “angka”, umpamanya
“Boeng 323”, media Radio dan TV enggan menyebut angka itu dalam Bahasa Melayu,
mengekalkan sebutan Bahasa Inggeris. Inilah peluang baik bagi memperkasa Bahasa
Melayu dalam berita memperkenalkan angka itu dalam Bahasa Melayu bukanya
Inggeris.
Ejaan pesanan ringkas SMS sekarang sudah merebak luas
sejak perkembangan teknoloji peralatan telekomunikasi. Punca utama ia berlaku
ialah peralatan itu mempunyi ruang terhad menyebabkan para penggunanya menjadi
kriatif menyingkatkan ejaan mengikut bunyi. Kebanyakan yang melakukankan nya
ialah pengguna muda dan remaja yang masih dibangku sekolah atau pusat
pengajian. Tindakan ini menyebabkan mereka terpengaruh hingga melarat ke meja
pelajaran. Sudah ada aduan menyatakan taraf ejaan kebanyakan murid-murid dan
pelajar-pelajar kini sudah menurun. Perkara ini perlu dibendung oleh
pihak-pihak yang berkenaan termasuk ibu-bapa dan penjaga mereka yang berkenaan.
Juga yang membimbangkan pencinta Bahasa ialah apa yang
disebut “Bahasa Slanga” yang terdapat dalam berbagai-bagai bahasa. Bahasa
Melayu jugas tidak ketinggalan. Bahasa slanga ini dipergunakan secara meluas
dalam percakapan tidak formal khususnya dikalangan anak-anak muda, golongan
tertentu, di daerah-daerah dan sebagainya. Hanya mereka sahaja yang memahami
maknanya. Apabila perkataan-perkataan bahasa ini merebak dikalangan orang
ramai, kemungkinan besar ia diterima sebagai sebahagian bahasa formal.
Satu masa dulu RTM mempunyai satu bahagian yang di tugas
mengesan siaran. Siaran yang dikesan adalah dari luar negara yang membawa
berita-berita memperkecil Malaysia dari berbagai bidang, termasuk jugalah
siaran radio komunis yang menentang negara ini dahulu. Laporan dari bahagian
ini diguna untuk menangkis dakyah yang dianggap anti-Malaysia. Apabila “Perang
Dingin” antara kuasa-kuasa besar dan rakan-rakannya serta dakyah menentang
Malaysia semakin merosot nampaknya kedudukan bahagian ini tidak diutamakan
lagi. Selepas itu satu unit juga ditubuh oleh Kementerian Penerangan untuk
mengesan siaran iklan yang dikatakan lebih daripada waktu yang ditetapkan dan
adakalanya tidak sesuai. Kedudukan bahagian ini juga sekarang tidak diketahui,
mungkin menemui masaalah lojistik hingga terpaksa ditutup.
Perihal “Caption”, “Crawler” dan “Sarikata” telah
diperkatakan dalam salah satu “posting” yang lalu. Tidak perlulah dibincangkan
disini. Sila lihat link berikut: http://tokciktengok.blogspot.com/2012/03/whats-on-tv-screen.html untuk pandangan
penulis.
Satu ketika tidak berapa dulu berlaku perlantikan orang-orang
yang memimpin Kemenetrian Penerangan (sekarang KPKK) dan Ketua Pengarah
Penyiaran yang mungkin terlupa atau tidak mengerti secara mendalam peranan RTM
memperkasa Bahasa Melayu. Salah seorang Menteri Penerangan telah mengubah waktu
siaran berita nasional dalam bahasa Melayu dari slot biasanya sejak berzaman
8.00 malam ke 9.00 dan menempatkan berita Mandarin di slot itu di TV1. Riaksi
bantahan dari masyarakat memaksa waktu siaran berita berkenaan kembali ke
tempat asalnya. Bila diadakan rombakan kabinet beliau diganti oleh tokoh lain.
Nampaknya setiap Menteri yang dilantik mempunyai agenda tertentu untuk RTM,
yang sudah tentu untuk meningkat imej masing-masing, khususnya dalam berita dan
siaran, hingga kepada perlantikan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran. Satu ketika
dahulu RTM dipimpin oleh orang-orang yang kurang pengalaman dan tidak mendalami
kekuatan dan kelemahan anak bauh yang dipimpin mereka. RTM hampir melarat
apabila ia dipimpin seorang dari luar dikalangan swasta hingga perisian
rancangan dan siaran menjadi celaru. Alhamdulillah keadaan kejahilan itu sudah
diatasi dengan tokoh dan Menteri yang memahami cita-rasa dan hala-tuju RTM
dalam bidang Bahasa Melayu khusunya.
Sudah tiba masanya badan penyiaran kebangsaan RTM serta
badan-badan penyiaran swasta termasuk badan penyiaran satelit Astro bersatu
tenaga membendung gejala-gejala tidak sihat dalam pertuturan, sebutan dan
tulisan dalam apa bentuk sekalipon demi mempertahankan kesucian Bahasa Melayu,
sekaligus menyemaikan semangat jatidiri nasional negara Malaysia. Penubuhan
satu Jabatan untuk tujuan itu dibawah panji-panji Kementerian Penerangan,
Kebudayaan dan Komunikasi (KPKK) amat dialu-alukan.
Baru diumumkan ialah “Panggung Bahasa” oleh Menteri KPKK
Dato Seri Utama Rais, satu projek yang belum jelas hala tujunya. Jika benar
ianya bertujuan memperkasa Bahasa Melayu, bagus juga ianya merangkumi perihal
salah sebutan dan pembentukan satu “jabatan khusus” untuk menjamin supaya
terpelihara kesucian dan gaya sebutan Bahasa Melayu diudara dan ditonton di
semua siaran Radio dan TV negara Malaysia.