Saturday, March 10, 2012

Kisah Pak Pacak




Ini bukan cerita lucu. Ianya kisah penglibatan penulis dalam bidang Drama sejak dibangku sekolah hingga pencen. Walaupon tiada memainkan peranan penting dalam sebarang persembahan, penulis tidak ketinggalan memainkan peranan dalam mengemudikan bidang Drama sepanjang tugasnya. Sudah tentu ianya membosankan bagi yang tidak memahaminya.

Penulis ke sekolah Inggeris dizaman penjajah dulu, Sekolah Anderson di Ipoh. Sejak di Tingkat Dua hingga Tingkat Lima dari tahun 1952 hingga 56, salah satu sabjek yang diajar ialah “English Literature” (Sastera Inggeris). Selain dari nobel-nobel Inggeris dari penulis yang terkenal pada zaman itu, kami juga membaca karya Shakespearre. Antaranya ialah “Hamlet”, “Julius Caeser” dan “Merchant of Venice”. Yang menariknya murid-murid disuruh berlakon dalam kelas masing-masing memegang watak dalam karya-karya itu. Wah, ramai yang berebut mahu memegang peranan penting tetapi guru sabjek itu bijak menggilir-gilirkan muridnya memegang setiap peranan. Dari sini ramai yang menunjukkan bakat lakonan, disamping menghafal kata-kata “hikmat” Shapespearre. Antara rakan kelas penulis yang amat bijak dalam lakonan ini ialah Rahim Razali (kini Dato’) yang masih menjadi pelakon handalan tanah air. Rasanya yang menarik dalam hal ini ia membaiki kecekapan kami semua berbahasa Inggeris, sambil bijak pula memetik kata-kata hikmat Shakespearre.

Semasa melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam, dikala Tanah Melayu mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 atas semangat patriotik kelas kami telah mempersembahkan satu sandiwara mengesahkan riwayat “Hang Tuah”. Rahim telah melakar skripnya dan menjadi pengarah disamping memain pernanan utama Hang Tuah. Semua dalam kelas Tingkatan Enam telah diberi peranan. Penulis telah diberi tugas sebagai Hulubalang Istana, tak lebih dari “Pak Pacak” kerana dialognya singkat sahaja. Persembahan itu menarik peminat-peminat sandiwara dibandar Ipoh ketika itu dan mendapat liputan meluas dalam akhbar termasuk “The Straits Times”. Sebenarnya penulis tidak begitu minat dalam lakonan. Yang lucunya bila gambar keluar Rahim menegur tentang pakaian penulis yang tidak seragam, berbaju hitam berseluar cerah. Sampai hari ini Dato Rahim masih tak lupa hal itu, sambil melawak berkata “tiada disiplin”.

Ketika memohon jawatan Pembantu Siaran Gred II Sementara (BA2) di Radio Malaysia pada tahun 1963 antara ujian yang ditempuhi ialah melakon bualan talipon diatas skrip yang telah disediakan. Rasanya penulis lulus ujian tersebut menyebabkan ianya berkarya dalam bidang penyiaran. Pada masa itu siaran radio negara bersekutu Malaysia baru berkembang. Hampir setiap petugas terlibat dalam berbagai-bagai bidang, termasuk lakonan drama. Sebagai orang baru penulis diberi peranan kecil seperti sarjan atau korporal, tiada banyak bezanya dengan “Pak Pacak”. Penglibatan ini memberi banyak pengalaman. Dari sini penulis belajar berbagai-bagai seluk-beluk mengindah sesuatu penerbitan radio. Tambah pula penerbit-penerbit zaman itu semuanya handal belaka termasuk Arwah Haji Azhar Ahmad dan Zulkifli Amin. Membantu mereka ialah Arwah Nordin Buyong yang cukup cekap mengadun kesan bunyi dan muzik untuk setiap penerbitan. Penulis berasa penglibatan dalam drama menambahkan lagi pengetahuannya dalam bidang penerbitan.

Bila ditukar ke Pulau Pinang sebagai Pengelola Rancangan Melayu Kawasan Uitara barulah penulis ada peluang menunjukkan apa yang dipelajarinya di Rumah Persekutuan apabila Pulau Pinang diminta menerbitkan Sandiwara Radio. Rupanya banyak yang perlu diberes dari memperolehi skrip yang sesuai hingga bidang lakonan yang memerlukan lathian rehearsal dan memilih kesan bunyi dan muzik. Tugas kami adalah mencungkil bakat-bakat tempatan diKawasan Utara. Sebagai penerbit Arwah Ismail Long telah memainkan peranan yang baik. Selain dari itu kami juga berjaya menerbitkan beberapa rancangan Bangsawan melalui usaha karyawan bangsawan lama yang menetap di Pulau Pinang, Abdullah Sani dan isterinya satu masa dulu primadona Mak Minah.

Hubungan penulis dalam bidang Drama terputus bila kembali ke KL pada tahun 1972 kerana terlibat dengan siaran luar negara “Suara Malaysia” dan kemudian dalam bidang Hal Ehwal Awam pada tahun 1980 dan akhirnya Sukan pada tahun 1982.

Diwaktu ini penulis telah menjalankan tugas Pengarah TV ketika pemegang jawatan hakikinya bertugas diluar negara selama dua minggu. Ketika inilah ia didatangani oleh Pengawal Drama meminta penilaian drama berjodol “Guru Yahaya” yang dianggap mempunyai jalan cerita dan persembahan yang kontroversial dipadankan  pada kisah serangan oleh kumpulan fanatik agama keatas Balai Polis Batu Pahat. Penulis telah meminta sahabat baik, pegawai kanan Bahagian Agama, Ustaz Osman Fauzi untuk membantu penilaian dari aspek keagamaan. Ustaz Osman memaklum tiada apa yang bercanggah. Penerbitan itu telah diluluskan tanpa pindaan atau suntingan. Bila disiarkan, akhbar Utusan Malaysia telah memberi pujian atas keberanian RTM menyiarkan cerita peristiwa yang kontroversi.

Berikutan sambutan yang baik dari penaja dan pengiklan pada tahun 1985 Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan penubuhan akaun khas “Akaun Amanah Tajaan” (AAT) Rancangan Sukan. Ini ialah akibat peraturan ketat mendapat perbelanjaan untuk liputan khususnya diluar negara dan keperluan mendapatkan perlatan teknikal terkini yang cepat berubah mengganggu rentak perancangan. Penulis adalah antara 3 pegawai yang mentadbirkan AAT. Dengan begitu banyak acara sukan popular berlaku ketika itu AAT mempunyai simpanan berpuloh juta ringgit.

Pada ketika itu juga telah diperkenalkan “Drama Swasta” untuk menggalakkan penerbit-penerbit swasta berkarya demi menghidupkan semula bidang filem Melayu yang sudah hampir pupus. Dimasa inilah orang-orang yang tiada pengalaman dalam sebarang penerbitan melibat diri dalam Drama Swasta kerana kemampuan mereka mendapatkan pinjaman dari sumber-sumber kewangan, membelakangkan sasaran asalnya dikalangan karyawan filem temapatan. Sekaligus keadaan ini mengusutkan kualiti penerbitan. Ini amat membimbangkan pihak yang berkuasa di RTM. AAT telah diminta memasukkan pembelian Drama Swasta dalam aktibitinya. Ini adalah satu keputusan yang menyukarkan tugas pengendali AAT yang berkeadaan selesa selama ini.

Kami telah mengadakan perbincangan dengan penaja utama rancangan sukan di TV, salah satu dari syarikat rokok, yang diwakili oleh Pengerusinya sendiri, seorang berbangsa Inggeris. Dia terus terang menyatakan syarikatnya mengutamakan yang terbaik tidak dapat bersekutu dengan produk yang berkualiti rendah seperti Drama Swasta. Kenyataan ini telah kami duga dari awal lagi. Penulis telah diminta memaklum-balas kenyataan yang sememangnya ada kebenaran itu. Kami menyatakan bukanlah niat kami menurunkan darjat jenama produk syarikat yang terkenal itu. Kami hanya mahu menyekutukan produk kami dengan produk yang terbaik kerana sambutan penontonnya adalah tergulung dalam demografi sasaran jenama rokok tersebut. RTM pasti mengambil tindakan sewajarnya memastikan kualiti Drama Swasta dipertingkatkan dalam semua bidang untuk slot tajaan jenama rokok terkenal itu dan bersedia membincang apa yang diperlukan oleh syarikat pengiklan itu. Setelah mendengar jaminan yang diberi, wakil syarikat itu telah bersetuju menaja pada tempuh tertentu; sekiranya tiada juga tajaan akan dihentikan.

Dengan itu Jawatankuasa Penilaian Drama Swasta telah dimaklumkan tentang apa yang telah dipersetujui. Sejak itu slot Drama Swasta yang ditaja semakin meningkat kualitinya, sementara penerbit Drama Swasta yang disiarkan tanpa tajaan telah mengambil langkah membaiki kualiti produk mereka demi berusaha mendapat tempat di slot yang ditaja. Semakin banyak jenama yang datang membeli “airtime” untuk produk masing-masing, setelah melihat kesungguhan jenama rokok ternama itu menajanya.

Tidak lama selepas itu penulis telah dilantik Timbalan Pengarah TV (Penerbitan). Antara bidang tugasnya termasuk Drama terbitan dalaman RTM. Akibat kekurangan kakitangan, hampir kesemua pegawai di Bahagian Drama ketika itu sebuk mengendalikan segala aspek bidang Drama Swasta menyebabkan tidak banyak penerbitan dalaman diterbitkan. Lagipon penulis skrip dan pelakon-pelakon lebih ghairah melibatkan diri dengan penerbitan Drama Swasta yang dianggap tidak banyak kerenah disiplin.

Ketika inilah penulis didatangi oleh Pengawal Bahagian Agama ketika itu Puan Hajah Aminah Mohd Nor yang menyatakan Bahagiannya berhasrat menerbitkan Drama bercorak dakwah diberi nama “Yang Arif” dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan dengan kisah berasaskan kes-kes di Mahkamah Syariah. Penulis tertarik dengan cadangan ini kerana ia adalah satu cara terbaik menyampaikan maklumat keagamaan secara tidak langsung. Beberapa perbincangan telah diadakan dengan pihak yang berkenaan yang sanggup menyediakan salah satu Mahkamahnya sebagai lokasi. Penyediaannya mengambil masa juga. Penerbitnya Ngani Annuar pernah terlibat dengan penerbitan Drama ketika bertugas di Bahagian Drama telah berkerja dengan tekun untuk memastikan kejayaannya. Musim pertamanya sebanyak 13 episod mendapat sambutan diluar dugaan kerana penonton ingin tahu selok belok keagamaan dalam kes-kes yang dipaparkan yang banyak memberi pengajaran. Penerbitan itu diteruskan selanjutnya. Kini sudah ada beberapa penerbitan swasta mencontohinya.

Apabila penulis memegang jawatan Pengarah TV pada tahun 1994 Bahagian Drama telah ditugaskan menerbitkan Drama Khas berkualiti yang menjadi contoh kepada penerbit-penerbit swasta. Diwaktu yang sama perolehan rancangan-rancangan penerbitan swasta diperketatkan bidang kualitinya. Pada hemat penulis Drama Swasta ini dimonopoli oleh beberapa syarikat atau penerbit yang kuat sumber kewangannya, sementara yang lain mengharapkan belas ikhsan mereka dari segi kemudahan kelengkapan dan teknikal. Umpamanya, pada satu ketika Pengarah TV telah didatangani oleh seorang tuan punya bengkel kereta yang baru menceburi bidang penerbitan Drama Swasta mengadu penerbitannya yang tidak diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian RTM telah disiarkan dengan pindaan kepada nama penerbit dan syarikat penerbitan yang lain. Ringkasnya, Pengarah TV telah memanggil kedua-dua penerbit dan penulis skrip masing-masing untuk bersemuka. Malang sekali penerbit dan syarikat yang menyediakan kelengkapan dan alat penerbitan enggan hadir. Dia telah datang secara peribadi mengaku kesalahannya. Dia telah bersetuju mengembalikan bayaran yang diterimanya kepada penerbit hakiki dan tidak melakukan perkara yang sama lagi.

Itu adalah antara kisah tentang seluk beluk dunia perniagaan Drama Swasta yang mempunyai berbagai kerenah yang diketahui oleh “Pak Pacak”.


No comments:

Post a Comment