Tuesday, May 22, 2012

Kisah Benar – Kereta RTM Kena Tembak.




Kisah benar ini ditulis atas permintaan PakChu Mahady Ibrahim, bekas Pengarah RTM Kota Bharu. Pak Chu telah menalipon minta Tokcik “interview” orang lama Muhamad Hassan, orang pertama yang berbahasa loghat Kelantan di Radio RTM, kerana “Che Mat” terlibat secara langsong dalam insiden yang berlaku sebelum Pilihanraya Umum 1969.

Peluang untuk bersembang dengan Che Mat, TC perolehi ketika “Lunch Veteran RTM” yang diadakan ditempat biasa di Restoran Tappers, Bangsar South, tengah-hari tadi. Che’ Mat seronok sungguh mengenang kembali peristiwa yang hampir jadi tragedi itu. Ianya untuk memberitahu orang ramai dan staf RTM sekarang bahawa bertugas dengan RTM adakalanya menghadapi risiko tinggi.

Sebenarnya Tokcik sendiri belum pernah mendengar peristiwa ini, mungkin kerana Tokcik sendiri duduk di Pulau Pinang ketika itu, jauh dari Kota Bharu. Pada masa itu belum wujud Lebuh Raya Timur-Barat yang merentas Banjaran Titiwangsa. Lagipon dizaman darurat dulu peristiwa seperti ini tidak dihebohkan dalam media massa yang masih belum berkembang seperti sekarang. Ketika itu Tokcik belum mengenali Che’ Mat secara peribadi.

Mengikut Che’ Mat dia mewakili Bahagian Melayu Kawasan Pantai Timur yang beribu-pejabat di Kota Bharu untuk membuat liputan pelancaran kapal maritim baru di MARA Dockyard (Limbongan) di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Pada zaman itu majlis seperti ini biasanya diberi liputan besar-besaran.

Staf lain yang pergi besamanya dalam kenderaan pejabat jenis van kombi Volkswagen, yang tidak asing masa itu, ialah Patrick Nice bertugas BA3 di Bahagian Inggeris, Hamidon Zain dan Samad Haroun serta juruteknik. Patrick ialah pengadil bolsepak FIFA yang terkenal dizamannya.

Dalam perjalanan, biasanya Mat Hassan sebagai staf kanan dan yang mengelolakan liputan akan duduk di kerusi hadapan penumpang disebelah pemandu, sementara yang lain akan duduk dikerusi belakang, dengan peralatan diletakkan dibahagian belakang sekali.

Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pada masa itu mengambil masa yang lama dalam keadaan jalan juga sempit, tidak seperti sekarang. Selepas tamat urusan liputan, krew RTM itu telah melapangkan masa untuk menyehatkan badan dengan menikmati makanan tempatan sebelum berangkat pulang.

Keadaan mula gelap bila mereka dipertengahan jalan. Kelihatan sepanduk Pilihanraya disepanjang jalan. Itu sudah menjadi kebiasaan. Kerana keletihan kesemua penumpang telah tertidor. Pemandu amat berhati-hati.

Kenderaan telah masuk kenegeri Kelantan. Che’ Mat telah tertidor dengan meletakkan kakinya ke atas “dashboard” untuk lebih selesa. Bila menyusuri tepi padang di Peringat berhampiran Pasir Putih tiba-tiba terdengar kereta dihentak, seakan-akan kena tembak. Terus pemandu memberhentikan kenderaan kerana dia mengalami kesakitan dikaki sebelah kirinya. Apabila pemeriksaan dibuat didapati banyak darah mengalir dan bergenang dikawasan bawah pemandu.

Pemandu telah diberi rawatan segera oleh krew RTM yang tahu sedikit sebanyak “first aid”. Dia dibawa ke hospital untuk rawatan sepenuhnya. Patrick mengambil alih peranan pemandu; mereka membuat laporan di Balai Polis.

Mengikut Che’ Mat, Pasukan Polis telah pergi ke tempat kejadian dan memanggil orang-orang kampong untuk memberi keterangan. Malang sekali orang yang melakukan kesalahan tidak dapat dikesan.

Che’ Mat amat bersyukur kerana terlepas dari kecedaraan dan tragedi hingga berusia 79 tahun sekarang. Alhamdulillah.

Moga staf RTM dan penggiat penyiaran kini mengambil iktibar diatas pengalaman yang dialami Che’ Mat. Berhati-hati dan waspada dalam menjalankan tugas.



3 comments:

  1. Kalau berlaku perkara ini sekali lagi, krew RTM mesti menggunakan AMPC atau kereta kebal.
    PK

    ReplyDelete
  2. PC mengetahui kesah benar ini kerana bersama-sama dgn Che' Mat di stesen Radio Kota Bharu, malangnya tidak berkesempatan untuk mendapat detail peristiwa untuk dimasukkan dalam fb sebab Cik Mat telah menetap di KL selepas persaraannya. Agak PC peristiwa seumpama itu pertama kali berlaku terhadap petugas RTM dan tidak diketahui ramai oleh kawan2 yang jauh dari KB. Pada zaman itu (47 tahun lampau) berita dan peristiwa lambat merebak dan diketahui ramai. Keadaan dharurat masih hangat di Kelantan terutama dikawasan sempadan dgn Thailand. Bagi menjaga keselematan kami ketika membuat liputan langkah berhati-hati dan berwaspada sering diambil, salah satunya, kereta yang sering digunakan jenis Land Rover dicat warna biru pekat (PC tak pasti kenapa) dan Logo RTM tidak dilekatkan pada pintu kerana bimbang akan diberi tumpuan khusus oleh pengganas komunis yang masih ramai berkhemah disebelah Thailand dan berulang alik masuk ke kelantan. PC menaruh syak peristiwa yg berlaku pada Che Mat dan rakan2 ada kena mengena dgn hal-hal keselamatan. Disini PC ingin memaklumkan bahawa pemandu berkenaan (Paknik Mat) selepas persaraannya beberapa tahun lampau telah kembali keRahmatullah - alfatehah.

    ReplyDelete
  3. terima kasih diatas keterangan lanjut berkaitan keadaan dizaman itu PC. TC hanya tertinggal mencatatkan tembakan itu datangnya dari sebelah kiri bahagian depan pintu kenderaan berkenaan, tertembus menuju terus ke kaki pemandu.
    Alfatihah untuk Pak Nik Mat.

    ReplyDelete