Friday, April 27, 2012

Salah Sebut



Ini cerita lama sejak Radio dan TV bermula di negara kita. SALAH SEBUTAN dalam pertuturan, salah ejaan dan salah penggunaan perkataan amat menjadi-jadi sekarang dikalangan personaliti Radio dan TV khususnya dikalangan penyampai berita dan juruacara rancangan. Setiap waktu dan setiap hari ada sahaja kesilapan berlaku. Termasuk juga di TV ialah sarikata dan “caption” (Kepsyen) disepanjang siarannya,  hingga menjadi bahan kelakar, ketawa dan senda gurau dikalangan orang ramai, baik di media mahupon laman sosial.

Dizaman dahulu perkara ini jarang sekali berlaku mungkin kerana bilangan stesen Radio dan TV amat terhad, berkemungkinan kawal-selianya lebih ketat dan mudah kerana waktu siaran tidak meluas seperti sekarang. Zaman monopoli RTM dahulu pembaca berita dan komentator siaran langsung menempuhi ujian ketat sebelum dibenar keudara. Mungkin ini membikin mereka lebih berhati-hati dalam tugas masing-masing. Jika berlaku kesilapan yang tidak sengaja dan tidak ketara, mereka dengan cekap menutupnya. Jika kesilapan itu dianggap berat, mereka tidak segan silu mengguna perkataan “maaf” dalam penyampain dengan penoh sopan membuat pembetulan.

Sejak wujudnya badan-badan penyiaran swasta dan perkembangan Radio RTM disetiap negeri yang ada antaranya bersiaran sepanjang 24 jam tanpa henti setiap hari, rasanya kawal-selia sudah tidak lagi diutamakan, mengizinkan petugas-petugas yang keudara mempunyai lapangan luas untuk beraksi tanpa kawalan dan panduan. Jika dizaman dahulu adalah menjadi amalan untuk merakamkan sepanjang siaran, kini rasanya amalan itu tidak dipraktikkan lagi. Dengan demikian tidak mungkin sebarang kesilapan dapat dikesan.

Salah penggunaan perkataan juga amat menjadi-jadi sekarang seolah-olah Bahasa Melayu amat terhad perkataan dan nahunya. Salah satu perkataan yang disalah guna kini ialah “NOBAT”. Kamus Dewan (Dewan Bahasa dan Pustaka DBP) menyebutnya “pancaragam Melayu yang bermain  ketika Raja ditabalkan”. Kini perkataan Nobat telah hilang seri dan kedaulatan sebagai bahasa yang dikhaskan untuk istana. Setiap pengisytiharan khususnya dalam acara sukan dan pertandingan seni nyanyi, sekarang menggunakan istilah ini secara meluas untuk pemenang atau johan. Nyata benar penganjur dan badan-badan penyiaran amat cetek sekali dalam istilah yang tepat dalam Bahasa Melayu. Mengapakah tidak diguna istilah yang biasa diguna seperti “Umum” (mengumumkan, diumukan), “Isytihar” atau “diangkat”. Tak lama lagi mungkin ada bijak-pandai yang akan menggunakan istilah “tabal” untuk tujuan yang sama. Biarlah perkataan Nobat digunakan khusus untuk peristiwa di istana-istana. Sekiranya perlakuan ini dianggap sebagai keterlaluan mungkin Kabinet atau Persidangan Raja-Raja Melayu, terpaksa mengeluarkan perintah supaya media tidak menggunakan perkataan yang dikhaskan untuk istana bagi tujuan lain.

Kebanyakan salah sebutan berlaku sejak peralihan ejaan hasil persefahaman penyeragaman antara negara-negara serantau yang mengguna “Bahasa Melayu”.

Kebanyakan kesilapan melibatkan nama-nama orang. Yang ketara sekali ialah nama “SYED” dalam ejaan lama yang sekarang di sebut “shed” (seperti sebutan dalam bahasa Inggeris) oleh kebanyakan pembaca berita yang lahir selepas peralihan. Adakalanya perkataan itu disebut “shit”, satu perkataan yang menjijikan dalam bahasa Inggeris. Rasanya dalam hal ini pengarang yang menyediakan skrip eloklah mengingatkan pembaca sebutannya ialah “Sa-yed”.

Satu lagi perkataan yang kerap disalah sebut dalam kategori ini ialah Sukan “Skuasy” (dalam bahasa Inggeris “Squash”). Apabila ianya mengikut ejaan baru, pembaca sering silap menyebutnya “Skua-si”, menukar “sy” yang sepatutnya berbunyi “sh” (seperti menyuruh orang senyap). Yang peliknya bagaimana “sy” boleh bertukar kepada “si”.

Dizaman dahulu satu nama yang hangat di perbincangkan ialah nama pembangkang Pakistan bernama Zulfikar Ali Bhuto. Perkataan Bhuto itu disebut oleh pembaca berita RTM sebagai “Bato”. Pada masa itu Pakistan adalah anti Malaysia menyebelahi Konfrantasi Ganyang Malaysia oleh Sukarno. Perdana Menteri pertama, Tengku Abdul Rahman Putra, menegur RTM secara terbuka menyatakan sebutan yang sebenarnya ialah “Butoh”. Hanya selepas teguran keras dari Perdana Menteri barulah sebutan itu bertukar kepada yang sebenarnya. Apabila anak Zulfikar, Benazir dipilih Perdana Menteri Pakistan barulah sebutan sebenarnya kekal. Nyata sekali dizaman itu RTM menjaga budaya kesopanan sehingga sebutan nama orang dan tempat ditukar kepada yang lebih tertib, supaya tidak terdengar perkataan-perkataan yang dianggap lucah, mencarut dan seumpamanya.

Bila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 perkara yang sama timbul. Beberapa nama tempat di Sarawak adalah unik (luar biasa) kepada orang-orang di Semenanjung. Antaranya ialah “Nonok” yang membawa makna lucah. Nama tempat seperti ini diubah secara resmi kepada yang lebih memberansangkan seperti “Sri Aman” dan sebagainya. Dengan demikian ia tidak lagi menjadi bahan jenaka. Nama tempat di Sabah seperti “Menggatal” juga dianggap luar biasa pada mulanya tetapi sudah diterima umum. Di Semenanjung sendiri terdapat nama tempat yang menjadi bahan ketawa seperti “Batang Berjuntai” di Selangor. Sudah ada usaha dibuat  untuk menukar nama tempat itu kepada “Bestari Jaya” tetapi diatas papan-papan tanda, nama asalnya masih tercatat dalam kurungan kerana orang-orang tempatan sudah biasa dengan nama yang dikenali mereka sejak lahir.

Nama-nama tempat di Semenanjung sendiri juga sering disalah sebut. Antaranya Alor Merah di Kedah  yang sentiasa disebut dengan nama warna “me-rah”. Orang ditempat itu menyebut “Merah” dengan ejaan e-tanda. Ini adalah keunikan vokal Bahasa Melayu apabila kedua-dua “e” itu TIDAK dibezakan dalam ejaan. Begitu juga nama tempat “Yen” di Kedah yang sentiasa disebut oleh pembaca dan pengulas Radio dan TV seperti yang di eja, walhal sebutan sebenarnya ialah “Yan”. Sudah tiba masanya Kerajaan mewartakan ejaan tempat itu sebagaimana sebutan, iaitu “Yan”.

Kesilapan sebutan kerap berlaku dalam nama-nama yang dipinjam dari bahasa lain, terutama dari bahasa Inggeris. Antara yang ketara ialah nama tempat di Sabah, seperti Beaufort. Sebutan betul ialah “Bo-fert” (dengan e-tanda) tetapi pembaca berita dan pengulas yang tidak mengetahui pasti menyebut “Bi-u-fort”.

Sejak berita dunia menjadi tumpuan zaman sekarang, sudah pasti banyak nama orang dan tempat dari berbagai-bagai bahasa disalah sebut. Kesilapan ini melucukan khususnya bahasa Sepanyol, seperti nama tempat di Latin Amerika yang dieja “Cartagena” tetapi sebutannya ialah “Kar-ta-he-na”.

Kini bidang sukan bolasepak menjadi tumpuan. Semasa Piala Dunia Mexico dulu nama tempat “Guadalajara” sering disalah sebut dari yang sebenarnya dalam bahasa Sepanyol iaitu “Gu-a-da-la-ha-ra”. Nama orang atau pemain juga sering disalah sebut terutama yang berbangsa Sepanyol atau Portugis di Brazil.

Di Malaysia ramai yang minat bolasepak Inggeris melalui propaganda bertubi negara British itu untuk melariskan salah satu ekspot mereka. Orang Inggeris mempunyai cara ejaan dan sebutan yang berbeza dan pelik yang juga menjadi bahan polimik, umpamanya pasukan “Tottenham Hotspurs” sebutan betulnya ialah “Tot-nem” bukan seperti yang dieja. Banyak lagi contoh yang  terdapat.

Ejaan dan sebutan nama-nama orang dan tempat di Indonesia yang banyak dipakai disini juga tidak kurang kelirunya. Perkataan loghat daerah yang dinaik taraf ketahap nasional untuk memperkayakan Bahasa Indonesia adakala dianggap pelik di Malaysia. Sebelum penyelarasan dahulu ejaan Bahasa Indonesia adalah mengikut ejaan Belanda, umpamanya huruf berbunyi “y” di eja dengan “j” seperti “Kemayoran” dieja “Kemajuran”. Begitu juga “Yokyakarta”. “Acheh” dahulu dieja “Atjeh”. Nama-nama orang juga dahulu mengikut ejaan Belanda, seperti “Junus” untuk “Yunus” dan sebagainya. Bertambah lucu kepada kita di Malaysia ialah perkataan tertentu seperti “Butuh”, “membutuhkan” yang lebih membawa makna perlu atau hajat. Dalam ulasan sukan pula pengulas-pengulas Malaysia rajin mengguna perkataan “tewas” untuk kalah. Rakan-rakan dari media Indonesia menjadikannya bahan jenaka, kerana di Indonesia perkataan itu membawa makna “mati” atau “bunoh” yang diguna mereka secara meluas.

Satu masa dahulu bidang penyiaran sebuk dengan “sebutan baku” hingga lupa apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 Artikel 152 yang menyebut antaranya Bahasa Kebangsaan adalah mengikut Loghat Johor-Riau. Perkara ini bermula semasa Dato Sri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pelajaran dengan memperkenalkan “sebutan baku” disekolah-sekolah. TV3 yang satu ketika dipimpin oleh orang-orang yang rapat dengan dia telah melaksanakan penggunaaan “sebutan baku” menyebabkan masyarakat Malaysia berbelah bagi kerana RTM terus tidak berganjak dengan sebutan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr. Mahathir dalam mesyuarat Kabinet telah menetapkan bahasa penyiaran hendaklah mengikut apa yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Perseketuan. Kini nampaknya TV3 telah melupakan “sebutan baku” dan kembali kepada sebutan asal loghat Johor-Riau. Namun masih ada saki baki yang menyokong “sebutan baku” masih berusaha supaya ia digunakan. Mungkin kerana ada kepentingan, seperti percetakan buku-buku dalam bidang berkenaan yang pasti laris dijual apabila ianya menjadi buku teks.

Yang peliknya Dewan Bahasa dan Pustaka DBP amat cenderong supaya sebutan baku dilaksanakan dengan mengadakan kursus mengenainya. Pada hemat penulis, tugas utama DBP ialah memelihara dan menyuburkan Bahasa Melayu, khususnya dalam tulisan. Biarkanlah sebutan bahasa Melayu dikendali oleh badan penyiaran kebangsaan RTM, yang menggunanya sepanjang siaran. DBP sudah lupa tugas utamanya memelihara kesucian Bahasa Melayu bertulis. Setiap hari terdapat kelucuan pencemaran bahasa seperti di papan-papan tanda dan iklan yang kononnya mendapat kelulusan DBP. 

Penulis teringat peristiwa bekas Menteri Penerangan Malaysia Tan  Sri Muhamad Rahmat (Tok Mat) ditermuramah oleh TVRI dan RRI di Jakarta apabila rakaman dihentikan kerana Tok Mat menggunakan sebutan Bahasa Melayu bukan Bahasa Indonesia. Penemuramah minta beliau menggunakan Bahasa Indonesia seperti dalam perbualan biasanya. Tok Mat ialah lulusan Universitas Indonesia dan pernah menjadi Duta Besar Malaysia disana. Dengan tegas Tok Mat memberitahu temuaramah itu adalah urusan resmi memerlukannya menggunakan Bahasa Malaysia. Begitulah betapa megah seorang tokoh kepada kedaulatan Bahasa resmi negara. Nyata Tan Sri menegaskan jatidirinya.

Dua lagi bidang yang membahaya dan mencemar Bahasa Melayu sekarang ialah apa yang disebut “bahasa rojak” dan “bahasa pesanan ringkas” (SMS).

Bahasa rojak memang tidak asing kepada masyarakat Malaysia yang beraneka etnik, keturunan dan budaya sejak zaman berzaman. Dizaman gemilang Empair Melaka dahulu Bahasa Melayu adalah “lingua franca” ahli-ahli perniagaan dan pedagang berbagai kaum yang petah dengannya dicampur aduk dengan bahasa ibunda sendiri atau bahasa-bahasa lain yang mudah difahami bila berinteraksi. Ini melarat hingga zaman British menguasai negara ini dengan membawa masuk kaum India dan China untuk kepentingan ekonomi mereka. Sekaligus kemasukan mereka ini menimbulkan selanga pertuturan untuk mudah difahami antara satu sama lain. Keadaan ini melarat hingga menjadi budaya orang-orang bercakap dari satu bahasa ka satu bahasa lain untuk mudah difahami dan menyampai objektif. Hal ini melarat kedalam pertuturan dan ucapan. Di Radio dan TV ianya juga ketara. Jika amalan ini tidak dihentikan oleh pengacara dan pengendali rancangan dan siaran nyata ia akan berkekalan mencacat Bahasa Melayu sejati yang tulin.

Berkaitan “bahasa rojak” ini termasuk kedegilan dan keengganan media Radio dan TV, badan-badan tertentu, mencampur-adukkan bahasa asing, khususnya Inggeris, dengan bahasa Melayu. Contoh yang terbaik ialah nama-nama barang, kempen dan sebagainya yang berakhir dengan “angka”, umpamanya “Boeng 323”, media Radio dan TV enggan menyebut angka itu dalam Bahasa Melayu, mengekalkan sebutan Bahasa Inggeris. Inilah peluang baik bagi memperkasa Bahasa Melayu dalam berita memperkenalkan angka itu dalam Bahasa Melayu bukanya Inggeris.

Ejaan pesanan ringkas SMS sekarang sudah merebak luas sejak perkembangan teknoloji peralatan telekomunikasi. Punca utama ia berlaku ialah peralatan itu mempunyi ruang terhad menyebabkan para penggunanya menjadi kriatif menyingkatkan ejaan mengikut bunyi. Kebanyakan yang melakukankan nya ialah pengguna muda dan remaja yang masih dibangku sekolah atau pusat pengajian. Tindakan ini menyebabkan mereka terpengaruh hingga melarat ke meja pelajaran. Sudah ada aduan menyatakan taraf ejaan kebanyakan murid-murid dan pelajar-pelajar kini sudah menurun. Perkara ini perlu dibendung oleh pihak-pihak yang berkenaan termasuk ibu-bapa dan penjaga mereka yang berkenaan.

Juga yang membimbangkan pencinta Bahasa ialah apa yang disebut “Bahasa Slanga” yang terdapat dalam berbagai-bagai bahasa. Bahasa Melayu jugas tidak ketinggalan. Bahasa slanga ini dipergunakan secara meluas dalam percakapan tidak formal khususnya dikalangan anak-anak muda, golongan tertentu, di daerah-daerah dan sebagainya. Hanya mereka sahaja yang memahami maknanya. Apabila perkataan-perkataan bahasa ini merebak dikalangan orang ramai, kemungkinan besar ia diterima sebagai sebahagian bahasa formal.

Satu masa dulu RTM mempunyai satu bahagian yang di tugas mengesan siaran. Siaran yang dikesan adalah dari luar negara yang membawa berita-berita memperkecil Malaysia dari berbagai bidang, termasuk jugalah siaran radio komunis yang menentang negara ini dahulu. Laporan dari bahagian ini diguna untuk menangkis dakyah yang dianggap anti-Malaysia. Apabila “Perang Dingin” antara kuasa-kuasa besar dan rakan-rakannya serta dakyah menentang Malaysia semakin merosot nampaknya kedudukan bahagian ini tidak diutamakan lagi. Selepas itu satu unit juga ditubuh oleh Kementerian Penerangan untuk mengesan siaran iklan yang dikatakan lebih daripada waktu yang ditetapkan dan adakalanya tidak sesuai. Kedudukan bahagian ini juga sekarang tidak diketahui, mungkin menemui masaalah lojistik hingga terpaksa ditutup.

Perihal “Caption”, “Crawler” dan “Sarikata” telah diperkatakan dalam salah satu “posting” yang lalu. Tidak perlulah dibincangkan disini. Sila lihat link berikut: http://tokciktengok.blogspot.com/2012/03/whats-on-tv-screen.html untuk pandangan penulis.

Satu ketika tidak berapa dulu berlaku perlantikan orang-orang yang memimpin Kemenetrian Penerangan (sekarang KPKK) dan Ketua Pengarah Penyiaran yang mungkin terlupa atau tidak mengerti secara mendalam peranan RTM memperkasa Bahasa Melayu. Salah seorang Menteri Penerangan telah mengubah waktu siaran berita nasional dalam bahasa Melayu dari slot biasanya sejak berzaman 8.00 malam ke 9.00 dan menempatkan berita Mandarin di slot itu di TV1. Riaksi bantahan dari masyarakat memaksa waktu siaran berita berkenaan kembali ke tempat asalnya. Bila diadakan rombakan kabinet beliau diganti oleh tokoh lain. Nampaknya setiap Menteri yang dilantik mempunyai agenda tertentu untuk RTM, yang sudah tentu untuk meningkat imej masing-masing, khususnya dalam berita dan siaran, hingga kepada perlantikan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran. Satu ketika dahulu RTM dipimpin oleh orang-orang yang kurang pengalaman dan tidak mendalami kekuatan dan kelemahan anak bauh yang dipimpin mereka. RTM hampir melarat apabila ia dipimpin seorang dari luar dikalangan swasta hingga perisian rancangan dan siaran menjadi celaru. Alhamdulillah keadaan kejahilan itu sudah diatasi dengan tokoh dan Menteri yang memahami cita-rasa dan hala-tuju RTM dalam bidang Bahasa Melayu khusunya.

Sudah tiba masanya badan penyiaran kebangsaan RTM serta badan-badan penyiaran swasta termasuk badan penyiaran satelit Astro bersatu tenaga membendung gejala-gejala tidak sihat dalam pertuturan, sebutan dan tulisan dalam apa bentuk sekalipon demi mempertahankan kesucian Bahasa Melayu, sekaligus menyemaikan semangat jatidiri nasional negara Malaysia. Penubuhan satu Jabatan untuk tujuan itu dibawah panji-panji Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi (KPKK) amat dialu-alukan.

Baru diumumkan ialah “Panggung Bahasa” oleh Menteri KPKK Dato Seri Utama Rais, satu projek yang belum jelas hala tujunya. Jika benar ianya bertujuan memperkasa Bahasa Melayu, bagus juga ianya merangkumi perihal salah sebutan dan pembentukan satu “jabatan khusus” untuk menjamin supaya terpelihara kesucian dan gaya sebutan Bahasa Melayu diudara dan ditonton di semua siaran Radio dan TV negara Malaysia.


6 comments:

  1. zaman kita dulu TC majoriti sekolah atap, terpaksa banyak belajar, sekarang semua ada kelulusan - diploma mass com, ijazah mass com dan macam2 mass com lagi. kalau buleh praktik apa yg dibelajar tu praktik lah, kalu tak buleh kena belajar (kami yg dimakan zaman ni buleh tolong). Masa la ni masa deme, buat lah apa yg patut, nak makan gaji ke, nak buat agar berbaloi gaji yg diterima ke - tengok menu tanya selera.

    ReplyDelete
  2. PC, TC,
    Mass comm ajar teori dan praktikal komunikasi, tapi tidak ajar bahasa Melayu. Sebab tu pengamal media sekarang ini tidak ambil berat pasal bahasa, sebaliknya lebih utamakan aspek lain

    ReplyDelete
  3. Mus,

    sudah tiba masanya Mass Comm tu masukkan bahasa Melayu dalam karikulumnya. Nak menulis skrip perlukan Bahasa Melayu yang bagus. Nak menulis laporan kerja dsb juga perlukan Bahasa Melayu yang bagus. Takkan kita nak biarkan "bahasa cacamarba" berleluasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Satu JK mencipta istilah perlu diwujudkan. Kita tidak kurang pakar dalam bidang ini...tapi pelik istilah penyiaran dan perfileman khusus dalam bahasa Melayu masih belum mampu diwujudkan

      Delete
  4. Baru dapat membaca dengan aman tanpa ada gangguan 'deadline'. Terima kasih TC atas pemerhatian ini. Panduan berguna untuk penyiar. Harap semua pihak dapat memanfaatkan.

    ReplyDelete
  5. Letfee - sebagai pencinta bahasa yang diguna dengan sempurna di Radio dan TV mari kita sama-sama berjuang ke arah ini.

    ReplyDelete