This is an unpublished article I was suppose to have posted in the PVRTM website. Somehow it did not reach its destination. Hence its appearance in this Blog.
Ali Rahman has a very good voice that dominated the Malaysian commercial world in his heyday. I was fortunate to be his friend.
This story is in two parts. The first one is about the day of his demise. The second is about the man and his wonderful voice.
As usual the article is in Malay.
ALI RAHMAN.
Berita kembali kerahmatullah Allahyarham
Ali Rahman saya terima kira-kira jam 10.00 pagi Isnin 4 Ogos, 2003 dari sahabat
lama saya Haji Zulkanain Hassan. Dia memberitahu, Ali meninggal semalam akibat
serangan ahmar. Dia tidak tahu dimana jenazahnya diuruskan, mungkin di Paya
Jaras, mungkin di Jeram.
Kad peribadi adiknya Nasir yang handal
sebagai suara latar rancangan Astro Ria “Roda Impian” yang diberinya kira-kira
5 tahun lalu sebelum dia menjadi personaliti terkenal dahulu sudah jumut, tak
boleh pakai. Sejak dia menjadi terkenal tak pernah saya berjumpanya untuk
mengemaskini nombor talipon dsb. Begitu juga dengan Ali; saya hanya menerima
khabar kesihatannya terganggu dan segala tugasnya dalam bidang “suara”
diserahkan kepada adiknya Nasir, yang mempunyai suara mirip kepadanya. Itulah
puncanya Nasir dikenali ramai sekarang.
Sementara menghabiskan sarapan pagi yang
lewat, saya membuat congak siapakah dikalangan kenalan bersama yang mungkin
tahu alamatnya. Saya teringatkan Haji Aziz Singah, pelakon drama terkenal.
Semasa di RTM dahulu Azizlah orang yang menyimpan profil semua pekerja
sambilan, artis, pelakon dan penyanyi. Aziz memberitahu dia tidak lagi
mengemaskini failnya dan Ali tiada lagi dalam senarainya. Namun dia berjanji
akan mencarinya melalui punca-punca yang diketahuinya dan akan memanggil balik
sebentar kemudian. Oleh kerana kurang sabar saya jangka rakan yang masih
bertugas di RTM, Haji Mustazah Maah pasti tahu alamatnya. Saya mati akal kerana
Mustazah juga memberi jawapan yang sama tetapi dia akan bertanya juruhebah Radio
Hajjah Mariamah Tejo.
Tanpa maklumat lanjut saya mengambil
keputusan untuk berhubung dengan rakan Veteran Haji Azhar Ahmad yang satu masa
dahulu menerbitkan rancangan drama radio dimana Ali sentiasa berlakon. Saya
maklumkan Haji Azhar sekiranya dia tahu alamat Allahyarham dan mahu pergi
menziarah saya mahu ikut sama. Dia pula memberi pesan yang serupa.
Sementara menyingkap akhbar, Haji Aziz
Singah menalipon alamat Ali di No. 212, Jalan Tambak Tengah, Batu 20 ½, Jeram
sekali dengan nombor telepon bimbit (bila saya talipon, orang yang menjawab
kata itu nombor salah!). Tak berapa lama kemudian Haji Mustazah pula memberi
alamat nombor lot di Jeram juga. Jadi saya nekad ia misti alamat yang sama. Apa
nak gadoh Jeram besar mana sangat. Soalnya dimanakah terletaknya Jeram dan
jalan mana nak dilalui kesana. Waktu Zohor cepat mendatang, jam sudah 11.30
pagi bila saya menalipon Haji Azhar memaklum saya akan datang menjemputnya
dirumahnya.
Dalam perjalanan Haji Azhar berkata dia
tiada langsung firasat dimana terletaknya Jeram di Selangor. Jika di Perak
katanya Jeram terletak dekat Batu Gajah. Saya maklumkannya yang saya ingat
Jeram tu dekat Sungai Buloh tetapi bukan Sungai Buloh yang ada penghuni VIP tu!
Dia beritahu saya dia pernah pergi ke Sungai Buloh yang saya maksudkan itu, tak
pernah pula dia dengar nama Jeram.
Kami mengambil keputusan untuk melalui
jalan baru dekat Shah Alam menunju kekawasan perumahan bernama Puncak Alam.
Selang beberapa minit diatas jalan kami sudah sampai kepersimpangan Meru-Kuala
Selangor. Oleh kerana saya memandu Haji Azhar membiarkan saya untuk membuat
keputusan samada kekiri atau kekanan. Saya membeluk kekanan kerana biasa ikut
jalan itu. Rupa-rupanya kami terpaksa mengikut jalan menuju Kuala Selangor sebelum
membeluk kekiri kearah Kelang. Banyak juga masa terbuang diatas jalan
berbengkang-bengkok!
Soal terkini ialah dimanakah Batu 20 ½
kerana papantanda sekarang adalah dalam kilometer dan hampir kesemuanya diroboh
dalam usaha membina lebuhraya tepi pantai moden dari Banting ke Taiping, yang
tak siap-siap. Bila kami menemui papan tanda Sungai Buloh dan Jeram barulah
kami berasa lega. Lepas itu barulah kami nampak beberapa papan tanda perniagaan
dan bangunan menyebut Batu 20 Jeram, bermakna kami sudah melepasi tempat yang
hendak dituju. Bila sampai ke stesen minyak Shell kami berhenti disitu untuk
bertanya jalan sambil menyenangkan diri. Orang disitu tidak mengetahui dengan
tepat alamat Allahyarham dan meminta kami mendapat pertolongan didepan. Setelah
bertanya di gerai menjual ikan berhampiran jalan yang dicari, barulah kami tiba
ke destinasi.
Orang yang menyambut kami tidak lain dan
tidak bukan ialah Nasir sendiri dan ramai sanak saudaranya termasuk anak putra
sulung Allahyarham. Ramai lagi sahabat taulan masih berkunjung memberi
penghormatan. Kami tiba kira-kira jam 1.00 tengah-hari. Jenazah telah
dikebumikan kira-kira sejam dahulu.
Rupa-rupanya ramai yang mendapat
maklumat dari Ahmad Tamimi Siregar dalam rancangan TV1 “Selamat Pagi Malaysia”
(SPM) yang menyebut urusan pengebumian ialah selepas Zohor. Oleh kerana urusan
jenazah telah disempurnakan awal, semuanya selesai diuruskan jauh sebelum
Fardhu Zohor. Nasir terpaksa membuat pembetulan melalui konteknya di Astro, dan
Radio Era telah membuat pengumuman. Namun orang seperti saya yang tidak lagi
menonton TV dan mendengar radio pengumuman itu terlepas begitu sahaja.
Kami dimaklumkan Allahyarham sememangnya
sedang menerima rawatan serangan ahmar dan tidak aktif lagi dalam bidang seni
suara. Dia baru sahaja pulang untuk menetap dirumah baru dikampung. Malam itu
dia masih segar lagi dan bersarapan dengan keluarganya seperti sediakala. Namun
pada kira-kira jam 3.00 pagi dia berasa resah dan keluarganya membawanya ke
Hospital Tanjung Karang yang berhampiran kediamannya. Dia menerima rawatan rapi
disana. Namun dia sudah kembali kerahmatullah kira-kira jam 3.50 pagi.
Jenazahnya telah dibawa pulang untuk diuruskan.
Sebelum pulang kami sempat mengucapkan
takziah dan menyampaikan simpati kepada kedua-dua balunya yang sedang
berkabung.
ALFATIHAH.
Subang Jaya
8.8.2003.
ALI RAHMAN DALAM KENANGAN
Ali Rahman yang meninggal
pada 4 Ogos 2003 ialah seorang tokoh istimewa yang berbakat besar dalam bidang
seni suara, bukannya dipentas dunia nyanyian tetapi didunia penyiaran,
lebih-lebih lagi dibidang iklan yang melariskan pasaran jenama dan produk.
Saya tidak segan silu
mengiktirafnya sebagai “The Voice” dalam bahasa Inggeris, jika dalam bahasa
Melayu dialah tuan punya “Suara Istimewa” lain dari yang lain. Parau, lunak dan
merdu, sedap dan tidak jemu didengar. Sukar untuk mencari istilah dan ukuran
mengisahnya. Namun ringkasnya, suaranya memang ada nilai – nilainya amat tinggi
dan berharga. Semasa hayatnya dia menjadi buruan agen-agen iklan dan
rumah-rumah penerbitan serta pengiklanan. Ramai juga agen-agen iklan di“veto”
oleh klien atau pelanggan yang tidah mahu suara selain Ali Rahman untuk
melariskan jenama dan barangan mereka.
Suaranya juga diperlukan
oleh penerbit-penerbit rancangan untuk meningkatkan mutu rancangan mereka
kerana gaya penyampaian Ali memang istimewa. Saya sendiri pernah berselisih
dengan bos saya satu ketika dahulu yang mahu mengelak suara “komersil” menjadi
suara “rancangan”. Demi tidak mahu mengalah kerana ingin mempertahankan kewibawaan
penerbitan, saya telah membuat keputusan untuk memakai suara Ali dalam
rancangan khas pada Hari Kebangsaan satu zaman dahulu. Sejak itu tali
persahabatan Ali Rahman dengan saya semakin erat kerana sanggup
mempertahankannya. Dia sudahpon dimaklumkan terlebih dahulu mengenai arahan
“tidak bertulis” yang banyak dikeluarkan kononnya oleh pihak atasan pada satu
zaman dahulu.
Saya tidak ingat sudah
berapa lama mengenali Ali Rahman. Bila saya mula-mula bertugas di Radio
Malaysia di awal 1960an dahulu ramai bakat-bakat baru yang mahu menonjolkan
suara di Federal House (Rumah Persekutuan). Ali Rahman ialah antara mereka yang
sentiasa berjinak distudio drama untuk rancangan yang dikendalikan oleh
penerbit Azhar Ahmad (kini Haji). Dizaman itu kebanyakan kerja dibuat oleh
kalangan sambilan adalah untuk suka-suka tanpa mengira bayaran. Jika ada
bayaran lagi menggembirakan. Lagipon bayaran hanya ala-kadar sahaja. Habis
banyak hanya 10 ringgit sekali berlakon. Pada masa sekarang tambang bas atau
LRTpon tak cukup.
Pada masa itu saya dan Majid Kayat (kini
Haji) berkongsi menyewa flat di Blue Boy Mansion dikawasan Bukit Bintang, kawasan
“high class” zaman itu. Disitulah personaliti Radio Malaysia yang masih
membujang berkampung pagi, petang, siang dan malam. Ali adalah antara mereka
yang mengekori kami hingga BB Park untuk liburan. Rasanya dia banyak menimba
ilmu dengan cara itu. Ketika itu dia baru sahaja menamatkan persekolahan dan
bertugas sebagai pegawai rendah di salah sebuah jabatan kerajaan.
Lama kelamaan suaranya semakin meningkat
dan menonjol mutunya. Bila bidang pengiklanan berkembang suara sepertinya
sangat digemari dan diperlukan. Ali Rahman adalah kalangan yang menjadi pilihan
utama. Oleh kerana begitu sibuk dengan bidang pengiklanan Ali telah meninggalkan
kerja asalnya untuk menumpukan tenaga ke profesyen baru “menjual suara”.
Dari bidang iklan dia menceburi suara
latar rancangan radio dan televisyen. Kemudian muncul dunia alih suara untuk
filem dan rancangan TV. Sejajar dengan itu dia dikejar untuk menjadi juruacara
majlis-majlis keraian. Banyaklah lagi bidang yang diceburinya yang memerlukan
suaranya yang bernilai tinggi itu.
Dengan kerja keras kehidupan Ali
bertambah lumayan. Sungguhpon lumayan Ali tidak lupa daratan. Malah dia
berkerja lebih rajin lagi. Dia melihat dunia perniagaan yang lebih melebar
melalui pergaulannya yang semakin luas. Kesanalah dia menuju akhirnya.
Kali terakhir saya berjumpa dengannya
secara lebih dekat ialah di Sarawak dimana dia menjadi pelopor jualan langsung.
Personalitinya membawanya kebidang itu dan kewibawaannya memudahkan dia
bermesra, bergaul dan membesarkan pelanggannya, sekaligus perniagaannya.
Dia seorang yang berwawasan dan
memandang lebih jauh daripada orang-orang seangkatannya. Pada saya dia
mempelopori belajar bahasa Inggeris lebih dahulu dari para pemimpin negara.
Saya kata begitu kerana pada satu zaman dahulu dia pernah meminta pandangan
saya tentang cadangannya untuk mendalami bahasa Inggeris. Saya menggalakkannya,
bukan sahaja belajar bertutur dengan baik bahkan mendalami bahasa itu dari segi
nahu dan apa juga selok belok. Ini adalah kerana ketika itu suara Orang Melayu
dalam iklan berbahasa Inggeris boleh dibilang banyaknya. Begitu juga keadaan
suara latar rancangan TV dalam bahasa Inggeris.
Secara melawak saya memberitahunya ada
juga eloknya dia belajar Mandarin dan dialek Kantonis. Dengan senyum sinis dia
menjawab “Engkau sahajalah belajar bahasa itu”. Ini sentiasa menjadi gurauan
kami berdua bila berjumpa akibat anugerah raut wajah masing-masing.
Selang beberapa bulan saya mula
mendengar suara seakan-akan Ali Rahman dalam iklan bahasa Inggeris diikuti
dengan beberapa “public announcement” (pengumuman awam) dan kempen-kempen
kerajaan dan promosi swasta. Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Ali. Saya
mengucapkan syabas kepadanya dan memberikannya dorongan supaya meneruskan
didikannya dalam bahasa itu. Saya yakin pendapatannya bertambah lumayan kerana
dia kini bertambah pilihan bidang.
Satu ketika
dahulu dia pernah memberitahu saya bahawa kami berdua adalah kembar, dan dia
yang sering pulang lambat kerana urusan-urusan yang memakan masa pernah
memberitahu orang rumahnya jika merindukannya pasang sahaja rancangan sukan TV
atau tontonlah ulasan-selari bolasepak dan hilangkanlah kerinduan. Pada masa
itu saya sering menjadi pengacara rancangan sukan TV disamping membuat
ulasan-selari rancangan-rancangan sukan khususnya bolasepak. Walaupon dia
sering memberitahu saya tentang perkara itu saya tidak mengambil indah sangat
dan menganggapnya jenaka semata-mata kerana pada ingatan saya tidak pernah dia
memperkenalkan isterinya.
Bila saya bertemu isterinya tempuh hari,
dia memberitahu “Oh, ini rupanya kembar arwah. Dulu selalulah tenguk di TV”.
Terperanjat juga saya dibuatnya. Rupa-rupanya Ali ialah seorang yang serius walaupon
berjenaka!
Kali terakhir saya berpeluang berbincang
dengannya secara panjang lebar dan mengorek rahsia hatinya ialah kira-kira 10
tahun lalu (1993) semasa saya berkhidmat di Kuching, Sarawak. Dia datang kesana
kerana urusan mempromosikan produk “direct selling” (jual langsung) yang giat
dipeloporinya. Sebagai personaliti popular dan bijak pula bercakap dia menjadi
orang kuat syarikat. Tak ingat pula nama syarikat itu ataupon jenama produknya
tetapi yang pasti ianya ialah sejenis kosmetik yang halal. Dia meninggalkan dua
set kepada isteri saya untuk menjadi bahan promosi dan pameran kerana
mengikutnya dia turut menjaja nama kami dalam kempennya. Namun kami tidak
serius dibidang itu kerana urusan pejabatpon tak cukup tangan.
Semua
urusannya dibuat disebuah hotel terkenal di Bandaraya Kuching. Disitu jugalah
dia menginap. Nyata sekali dia tidak serasi dengan makanan di hotel yang
terlalu asing kepada seleranya. Lagipon katanya dia was-was dan lebih gemar
dengan “home cooking”. Jadi bila kelapangan dia akan menalipon saya untuk
bersiar-siar dikota indah itu atau melepak dirumah sahaja menanti hidangan
masakan isteri. Selama lima hari disana berbagai-bagai topik menjadi
perbincangan kami.
Selang beberapa minggu kemudian dia
datang lagi untuk membuat “follow-up” (tindakan susulan) sebelum menyerahkan
tanggung-jawab kepada orang yang berwajib bagi sektor Kuching. Dia masih tidak
melupai kami dan kami meneruskan aktibiti seperti lawatan mulanya. Dia senang
hati berurusan di Kuching kerana ada kenalan lama disana.
Walaupon serba-serbinya “perfect”
(sempurna) tentang Ali, ada satu perkara
yang saya terkilan. Dia enggan memberi alamat rumahnya bila diminta, kerana
sebagai sabahat kita ingin menghantar kad ucapan dan sebagainya. Tak payahlah
itu semua katanya “engkau ambillah nombor talipon ini dan cakap cukuplah, tapi
baik-baik, jangan salah cakap!” sambil menghulur sekeping kertas. Sayapon
berasa pelik mendengarnya tetapi cepat faham bila melihat dua nombor talipon
yang berbeza jauh pangkalnya, bermakna lokasi rumah itu berlainan! Patutlah dia
minta saya berhati-hati bila bertutur!
Pada masa itu talipon bimbit mudah alih
yang ringan dan canggih tidak banyak jenamanya dalam pasaran dan belum begitu
popular seperti sekarang. Dia ada satu, tapi katanya tak guna beri nombor
kepada saya kerana duduk dalam hutan Negeri Sarawak. Bila kesana dia juga tidak
membawanya bersama kerana belum ada perkhidmatan dan kemudahan sedemikian
menghubungi Sarawak dengan tanah besar Semenanjung. Berbeza dengan sekarang.
Perwatakan
Allahyarham sangat menarik perhatian saya kerana tidak pernah saya mendengar
dia mengumpat atau mencerca orang. Segala-galanya positif kepadanya. Dalam
bidang kerjayanya terdapat ramai pesaing, dan dikalangan pesaing ada yang
cemburu menyebabkan pertelingkahan kerana masing-masing mempunyai kepentingan
dan teknik tersendiri untuk meraih pendapatan. Itu lumrah dunia. Namun
kedudukan unggulnya tidak memerlukannya menurunkan martabatnya ketahap nilai
rendah. Kepadanya rezeki tetap mendatang apabila seseorang itu jujur; manusia
wajib redza kepada kehendak Ilahi.
Rasanya hidup ini tidak sunyi dari
cabaran sedemikian. Jika bukan pesaing yang mewujudnya, pengendali dasar
mungkin mempunyi perhitungan tersendiri. Karyanya pernah tersekat seketika
apabila terdapat arahan lisan menghalang suara dalam iklan dijarangkan atau
sebolehnya disekat dari digunakan dalam rancangan dan sebagainya, atas nama
kepelbagaian. Namun Ali sangat beruntung kerana ketika itu berbagai-bagai
bidang komunikasi mula muncul dinegara kita, termasuk bermulanya stesen TV
swasta pertama STMB-TV3. Syarikat membikin rancangan dan drama tempatan tumbuh
seperti cendawan lepas hujan untuk merayakan industri baru dibidang video
selepas RTM menganjurkan program swasta mulai awal 1980an. Dengan demikian dia tidak
putus pendapatan kerana sentiasa menerima undangan hasil memiliki suara yang
istimewa.
Dia berkarya dizaman kemajuan pesat
bidang teknologi, dari TV hitam putih kepada berwarna, dari bunyi mono kepada
stereo kepada “multi surrounding” (sekeliling), dari talipon berwayar kepada
tanpa wayar, dari berganggang kepada mudah alih yang ringan, dari rangkaian
siaran mendatar bumi kepada satelit yang berawangan diangkasa lepas, dari
analog kepada digital, dari piringhitam deras 78 rpm (putaran seminit) kepada LP
dan EP 45 dan 33 rpm, dari katrij kepada kaset kepada cakera padat, dari kaset
video kepada cakera laser kepada cakera video hingga kecakera DVD (apa
bezanya?), dari “culculator” (alat pengira) kepada komputer PC serta “laptop”
alat riba mudah alih hingga yang digenggam dan sebagainya. Distudio TV pula
pita rakaman video semakin mengucup dari saiz dua inci kepada satu inci, dari
“reel” terbuka kepada pita kaset ¾ inci, hingga
“cip mikro” yang begitu halus, dan sebagainya. Semuanya berlaku
disepanjang hayatnya. Sedikit sebanyak suara Ali pasti berada didalam bidang
berkenaan. Agaknya itulah sebabnya dia berwawasan dan memandang jauh kedepan.
Terakhir saya menerima berita dia
diserang angin ahmar dan keadaannya parah hingga menghalangnya berkarya ketika
berada dipuncak jaya. Dia terpaksa berehat untuk kembali pulih seperti
sediakala, tetapi ia mengambil masa yang lama.
Permintaan untuk suaranya terus
mendatang. Semuanya dialih kepada adindanya Nasir yang mempunyai suara
miripnya. Sejak “Roda Impian” mulalah Nasir menjadi terkenal dan sibuk seperti
kekandanya dahulu. Betullah kata peribahasa kita “tak kemana tumpahnya kuah”.
Pada pagi 4 Ogos 2003 saya menerima
berita, Ali Rahman telah kembali kerahmatullah.
Perginya Allayrham Ali Rahman pasti
terasa hilangnya “Suara Emas” dari ruang udara siaran tanah air. Hilanglah
sinaran permata yang tiada tolok
bandingnya, yang sukar dicari ganti.
Semoga Allah mencucuri Rahmat menempatkan rohnya disisi mukmin yang soleh.
ALFATIHAH
Subang Jaya
9.8.2003.
Salam Uncle
ReplyDeleteThank you for writing this article and thank you so much for your kind words about my late father. We all miss him dearly. May Allah bless his soul and rest in peace. Al-fatihah.
Anita Ali
salam.uncle.can we come and visit you coz you resemble our late father. tq uncle.
ReplyDeleteSalam Uncle. Utk pengetahuan, Pak Uteh Nasir juga sudah meninggalkan kami. Kalau kita rindu kat Ayah, boleh juga dengar suara Pak Uteh. Tapi, semuanya tinggal kenangan. Terima kasih diatas penulisan artikel ini. Al-Fatihah to our beloved father and uncle.
ReplyDeleteThank you so much for writing this article uncle,,Al-Fatihah to my late father Arwah Nasir and uncle Ali..
ReplyDelete