Ismail Jah was a well known name in the early Malay
broadcast over Radio-RTM. I have nothing to add to the piece I have written
years back after his demise which didnt go into PVRTM website.
The article was in Malay.
DATO
HAJI ISMAIL BIN HAJI MOHD JAH, DPMP, KMN, SSA, AMP, PJK, meninggal
pada hari Ahad 15 Ogos 2004 jam 11.30 malam, setelah mengalami gangguan buah
pinggang dan kemudian kanser paru-paru. Jenazahnya telah dibawa pulang
kerumahnya di Jalan Othman, Petaling Jaya, kemudian di semadikan di tanah
perkuburan Taman Ibu Kota, Gombak, Kuala Lumpur sebelum Zohor keesukkannya.
Dia dilahirkan
pada 10 Ogos 1938 di Kuala Kangsar, Perak. Isterinya Datin Norlen Abdullah
meninggal kira-kira setahun dahulu. Mereka dikurniakan dua putra dan dua puteri
Semasa
berkhidmat dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Ismail dikenali dengan nama
glamor ringkas ISMAIL JAH sahaja. Apabila dia tidak lagi menjadi penyiar di
radio dan terlibat dengan pengurusan RTM dia menggunakan nama resminya seperti
diatas, tetapi kawan-kawan hanya memanggilnya Ismail dan lebih ringkas lagi
“Mail” kepada yang lebih rapat. Selepas bersara dia dikenali sebagai Dato
setelah dianugereah bintang kebesaran DPMP oleh Baginda Sultan Perak pada tahun
1997.
Saya mengenali
Ismail sejak dibangku sekolah ketika menyertai Anderson School, Ipoh pada tahun
1953 dalam ‘Standard VI’, pada pertengahan tahun itu ditukar menjadi ‘Form II’.
Rakan sederjah kami termasuklah Dato Rahim Razali dan Lee Long Seng bekas
juruteknik radio dan tv yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle George’ (George Lee).
Selepas itu kami berpisah kelas tetapi masih mempertahankan persahabatan dan
hubungan dalam berbagai-bagai aktibiti sekolah dan luar sekolah.
Sejak disekolah
lagi Ismail telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan minat dalam bidang
sukan, seni muzik dan nyanyian, serta menjadi juruacara. Dia seorang yang
mengawal rapi tingkah laku, pertuturan, pakaian dan serba-serbinya. Pendek kata
dia seorang yang kemas dan bergaya sehingga kawan-kawan memberi nama jolokan
‘stylo’ kepadanya. Dalam bidang sukan dia mewakili sekolah sebagai sayap kanan
bagi pasukan bolasepak, bermain sungguh bergaya walaupon lincahnya kurang, kata
kawan-kawan ‘style mau’. Dalam kelas dia sentiasa menawarkan diri untuk membaca
apa sahaja yang diminta oleh guru-guru untuk berbagai teks seperti ‘literature’
(buku cerita sastera Inggeris), sejarah dan sebagainya dan bacaannya sama
setanding dengan Rahim Razali dan beberapa rakan-rakan lain.
Dalam bidang
nyanyian dia sentiasa tampil kedepan untuk menyanyi berbagai lagu Inggeris
terutama oleh Nat King Cole dan lagu Melayu gubahan Allahyarham P.Ramlee. Jika
ada ‘talentime’ atau peraduan nyanyian dia sering menyertainya tetapi malang
sekali saya tak ingat keputusannya kerana saya kurang minat jurusan itu. Dalam
bidang nyanyian dia di kenali sebagai M.J.Ismail.
Ciri kepimpinan
yang jelas kelihatan sejak dibangku sekolah lagi ialah penyertaannya dalam
kumpulan ‘Cadet’ sekolah, kumpulan ala tentera. Pada tahun 1957 dia
menerajuinya sebagai sarjan dan saya hanya Lance Koporel sahaja bermain alat
tiupan ‘bugle’. Tahun 1957 adalah tahun keramat untuk negara kita Semenanjung
Tanah Melayu yang mencapai Kemerdekaan dikenali sebagai Malaya dibawah pimpinan
Tunku Abdul Rahman Putra. Pasukan Kadet kami telah berlatih berminggu-minggu
lamanya dalam bidang kawat, perbarisan dan band kerana sekolah kamilah
satu-satunya yang mempunyai pasukan sedemikian. Pada hari yang dibanggakan itu
budak-budak sekolah seperti kami amat megah sekali dapat menyertai perbarisan
dan perarakan di sekiar kawasan Padang Perbandaran Ipoh yang bersejarah dibawah
pimpinan Ismail. Sebenarnya kami telah berkawat dari sekolah lagi menuju ke
Padang. Masa itu mana cukup kenderaan. Makan minum juga tidak disediakan oleh
penganjur. Semangat kemerdekaan tetap membara disanubari, semua kesukaran
diketepikan.
Selepas tamat
sekolah Ismail berpindah ke Kuala Lumpur menjawat jawatan Kerani di Jabatan
Telekom pada tahun 1958. Dia terus berjinak-jinak dalam bidang nyanyian
sehingga membawanya kestudio Radio Malaya ketika itu di Federal House (Rumah
Persekutuan). Disinilah dia bertemu dengan kawan-kawan dalam bidang penyiaran
negara yang baru merdeka yang sedang mengembang dan mencari bakat-bakat
mengendali siaran. Bekas rakan sederjah Rahim Razali yang ketika itu berkerja
sementara sebagai pengulas sukan di radio memberi inspirasi kepada Ismail. Dia
berjaya dipilih sebagai pekerja sambilan. Pada tahun 1961 dia menjawat jawatan
BA III. Dia terus menunjukkan kesunggahannya, sehinggalah berjaya mencapai
jawatan no. 2 RTM sebagai Timbalan Ketua Pengarah ketika bersara.
Secara kebetulan
kawan lama bersua kembali. Saya menyertai Bahagian Melayu Radio Malaysia pada
tahun 1963. Ismail memudahkan serapan saya kebidang penyiaran kerana dia
sungguh murah hati mencurah pengalamannya memberi berbagai tunjuk ajar dalam
seni penyiaran. Begitu juga ramai kawan-kawan lain. Semasa itu tiada latihan
khusus, belum ada lafgi IPTAR. Kata orang-orang dulu ‘learning on the job’
(belajar semasa berkerja).
Disamping itu
Ismail telah mengamal ciri ‘marketing’ (pemasaran) sambil memperkukuhkan bidang
komunikasi, perhubungan awam dan yakin dirinya sendiri apabila dia dengan
sukarela menawarkan diri untuk memimpin kumpulan para pelawat yang datang dari
segala cerok rantau tanah air untuk mengetahui teknoloji informasi terbaru
zaman itu. Penerangan dan penjelasannya jelas dan mudah difahami. Praktik ini
menguntungkannya dikemudian hari, sehingga dia dijemput kemajlis-majlis negara
untuk menjadi juruacara atau memberi taklimat tertentu. Lagipon sebagai
juruacara dia terpaksa mematuhi segala prosidur dan peraturan secara ‘detail’
(teliti).
Selepas
berkhidmat di Puala Pinang selama 6 tahun saya kembali ke KL pada tahun 1972,
Ismail menggantikan saya. Kali ini giliran saya pula memberi ‘tips’ kepadanya
cara-cara memimpin siaran di Kawasan Utara meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang
dan Perak. Begitu jugalah keadaannya apabila dia menggantikan saya sebagai
Pengelola Suara Malaysia pada tahun 1980 dan kemudian sebagai Ketua Hal Ehwal
Awam RTM pada tahun 1982.
Selepas itu dia
menerajui Sekretariat RTM. Setelah IPTAR dia melonjak sebagai Pengarah Urusan
Rancangan. Akhirnya menerajui Timbalan Ketua Pengarah.
Dalam bidang
persatuan dia pernah menjadi Presiden Persatuan Penyiar Kebangsaan dan juga
Persatuan Veteran RTM. Ketika hayatnya dia memegang jawatan Naib Presiden
Persatuan Anak-Anak Perak.
Selepas bersara
dia berkhidmat dengan Lembaga Penapis Filem sehingga menjadi Timbalan
Pengerusinya sehingga keakhir hayat.
Sebagai seorang
yang berpegang kuat dengan disiplin, prinsip peraturan dan undang-undang saya
rasa dia kecewa dengan saya pada tahun 1992 apabila berlaku pertukaran
besar-besaran di RTM. Ketika itu dia ialah TKPP sementara saya Pengarah Kawasan
Sarawak. Amran Din telah menerima arahan resmi sebagai Penyelia Stesen Limbang
tetapi telah diarah supaya pergi ke Kuching sahaja. Saya enggan menerimanya di
Kuching. Apabila dihubungi oleh TKPP saya memintanya menghantar arahan secara
bertulis. Dia enggan mengatakan saya ‘engkar perintah’, tetapi beberapa minggu
kemudian pegawai terlibat telah menerima surat ‘tunjuk sebab’ dari Jabatan
Perkhidmatan Awam. Diapon berpindahlah ke Limbang. Sejak itu perhubungan kami
tidak semesra dahulu sehinggalah pencen.
Lagi satu
peristiwa yang sukar dilupai berkaitan dengannya ialah ketika pemilihan jawatan
Presiden Penyiar pada tahun 1988. Saya menghadiri mesyuarat agong hanya sebagai
ahli biasa dan tiada apapon cita-cita sama sekali kerana sebuk dengan tugas
pejabat. Tiba-tiba dicalonkan untuk jawatan Presiden. Saya tidak dibenar
menarik diri. Senarai calon termasok orang kuat Aziz Abas, Yahaya Long Chik dan
Mokhtar Kadir disamping ‘incumbent’ Ismail. Saya berasa susah hati apabila
diundi menjadi Presiden mengalahkan kawan-kawan baik saya, khususnya Ismail
Jah, yang sudahpon menjadi ketua. Sayapon menjalankan tugas sebaik-baik yang
mampu selama 2 penggal sehingga di perintah bertukar ke Sarawak
Sememangnya
Ismail seorang yang bijak memimpin dengan penuh kesabaran.
Subang Jaya, 18 Ogos 2004.
No comments:
Post a Comment