This is a continuation of the series remembering colleagues
who has influenced over my carrier in broadcasting. Though they have gone the
memories are still strong. The series were published in the PVRTM website
It is reproduced in its original form in Malay as posted on
23.07.2003. Hopefully it bring back nostalgic memories of the past
I have
chosen to write on one of the earliest acquaintance I have known in RTM. He may
not be known to many as he was only involved in the Malay broadcast of Radio
Malaysia, specialising in religious programmes. Haji Mutalib Hussein is a well
known figure among friends.
HAJI MUTALIB HUSSEIN
ialah antara rakan RTM yang paling lama saya kenali, sejak pertengahan 1963
lagi sebelum berkarya dengan Radio Malaysia. Pada masa itu saya baru sahaja
menjadi Guru Sementara di Sekolah Maxwell, Kuala Lumpur kini tersorok berdepan
dengan PWTC diseberang jalan. Saya telah diminta melatih pasukan hoki sekolah
disamping mengajar Bahasa Melayu, bertugas disebelah petang selain dari pagi.
Satu hari sementara menunggu budak-budak sekolah bersiap untuk latihan saya
perhatikan seorang berketayap, bercapal, berbaju Melayu lengkap dengan kain
pelikat berlari kencang masuk menghala sekolah dari jalanraya seolah-olah cemas
diburu sesuatu. Pada masa itu jalan masih sempit dan sunyi, tiada pencakar
langit, tiada jejambat hebat, hanya bulatan yang susut trafik. Saya naik hairan
dan ingin tahu apakah yang menyebabkan orang ini berkeadaan sedemikian. Bila
kami terserempak cepat-cepat dia mengenal dirinya, "Aku Mutalib, mengajak
ugama, hang sapa?" dalam loghat Kedah yang paling pekat. Cikgu juga
rupanya!. Sayapon cuba menjawab dalam loghat yang lebih pekat mengenalkan diri.
Sejak itu kami berkawan dan sentiasa berbual-bual mengenai karya dan keadaan
semasa. Bila saya meninggalkan sekolah itu dipenghujung penggal terakhir 1963
untuk berhijrah ke Jabatan Radio dialah orang yang paling sedih kehilangan
seorang rakan akrab bersembang dalam loghat yang disenanginya.
Dalam tahun 1965 bila Radio Malaysia memperkuatkan siaran rancangan agama dibawah pimpinan Ustaz Haji Ghani Lutfi tiba-tiba muncul seseorang yang ingin sangat berjumpa saya dari Perkhidmatan itu. Saya terperanjat juga bertemu semula dengan Ustaz Mutalib, kini lebih moden dan bergaya, lengkap dengan tali leher tanpa ketayap. Amat kontras dari orang yang saya jumpa pertama kali dulu. Sejak itu kami menyambung semula persahabatan, kali ini dipejabat, sama seiring karya pula.
Tidak berapa lama selepas saya berkhidmat
sebagai Pengelola Rancangan Melayu Kawasan Utara di Pulau Pinang, Mutalib
dihantar sebagai wakil Radio Malaysia pertama di Kedah bertempat di Jabatan
Penerangan Alor Star. Secara resmi dia bernaung dibawah jawatan yang saya sandang.
Walaupon tidak begitu mahir dalam bidang penyiaran, sebagai anak tempatan dari
Gurun, Kedah, dia telah melaksanakan tugas dengan baik, dan mudah mencampuri
masyarakat setempat. Dia juga cepat mesra dan penuh inisiatif. Maka banyaklah
bahan yang diterima untuk dimuatkan dalam siaran samada di Pulau Pinang atau
Kuala Lumpur. Prestasinya pada tahap baik walau dia menjalankan tugas
bersendirian.
Satu peristiwa lucu yang sukar saya lupa
mengenai Ustaz ini berlaku pada satu hari minggu (Ahad di Pulau Pinang) bila
Pengarah Kawasan Utara, Zainal Alam (pada masa itu Allahyarham belum bergelar
Dato’ atau Haji) pergi ke Alor Setar kononnya untuk membuat lawatan mengejut
kesana. Bila dia masuk pejabat pada hari Isnin keesukannya pagi-pagi lagi dia
mengejutkan saya dengan undangan tergesa-gesa kepejabatnya yang tidak pernah
dilakukannya. Dia beri tahu Mutalib tiada dipejabat sepanjang hari semalam
(Ahad) dan minta saya menyiasat dan memberi penjelasan. Saya memberi respon
spontan, mungkin dia buat "OR" (Rakaman Luar, alasan yang
paling popular dikalangan kita semua dulu, bukan?).
Meringkaskan cerita, setelah menyiasat
rupa-rupanya Ustaz kita telah memaklumkan Pengarah Penerangan Negeri Kedah
waktu dia bertugas adalah mengikut Negeri Pulau Pinang (hujung minggu ialah
Sabtu dan Ahad), walhal pada fahaman kami di Pulau Pinang waktu dia bertugas
adalah mengikut Negeri Kedah (hujung minggu ialah Khamis dan Jumaat). Nampaknya
mewah juga hari kelepasan hujung minggu Ustaz, kerana mengikut firasat dia
hanya berkerja sepenuhnya pada hari Isnin, Selasa dan Rabu sahaja. Dengan itu
saya telah diarah mengeluarkan arahan resmi hari dia bertugas adalah mengikut
Negeri Kedah dan menyelaraskan tugasnya dengan Jabatan Penerangan Negeri itu
dengan pengetahuan saya di Pulau Pinang.
Pada saya perkara itu tidak penting sangat
kerana kerja kita dulu tidak mengira hari atau waktu, hujung minggu atau cuti
am. Bila diperlukan kita akan melaksanakan tanggungjawab pada bila-bila masa
sahaja dalam apa juga keadaan sekalipon, siang atau malam, hujan atau panas,
basah atau kering, ada dating atau tidak. Mutalib tidak ambil
hati, dia faham! Namun itu bukan kerekter sebenarnya.
Mutalib pernah bertugas dibeberapa tempat
lain, termasuk Sabah. Sebelum bersara dia bertugas di RTM Alor Star. Saya
dapati dia tidak banyak berubah bila saya menemuinya di Alor Star sebelum dia
bersara. Dia tidak hipokrit, masih bercakap lantang dan berani menekankan
pendirian dikhalayak ramai "berani kerana benar" satu sifat
yang jarang terdapat dikalangan kita. Rasanya kerekter itu adalah hasil
pendidikannya di Kolej Islam yang "mentauliahnya" gelaran
"Ustaz".
Kali terakhir saya menemuinya ialah
kira-kira 3 tahun lalu selepas bersara semasa majlis perkahwinan seorang
puteranya dirumahnya dibelakang Mesjid Pekan Gurun, Kedah. Dia hanya
memaklumkan kesihatan dirinya dan isterinya terganggu sedikit.
Selepas bersara Allahyarham Mutalib
berkhidmat dengan Universiti Utara Malaysia UUM di Sintok, Kedah disamping
menulis skrip rancangan-rancangan agama untuk beberapa stesen radio yang masih
memerlukan khidmatnya. Katanya sesekali ada juga orang menjemput berceramah
agama.
Dia meninggal selang dua minggu selepas
isterinya.
No comments:
Post a Comment